Ahad, 13 Ogos 2017 | 8:27pm
Kekecohan yang berlaku ketika program "Nothing To Hide 2.0" anjuran Angkat Muda Bersatu Malaysia (ARMADA) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Kecoh di forum, 3 remaja ditahan

SHAH ALAM: Tiga remaja lelaki ditahan berhubung kekecohan pada Forum Nothing to Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata tiga remaja lelaki itu masing-masing berusia 17, 18 dan 19 tahun ditahan oleh orang awam pada program berkenaan.

"Mereka ditahan oleh orang awam yang berada pada program itu dan diserahkan kepada pihak polis.


Kekecohan yang berlaku ketika program "Nothing To Hide 2.0" anjuran Angkat Muda Bersatu Malaysia (ARMADA) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Remaja berusia 18 dan 19 adalah penuntut sebuah kolej swasta manakala seorang lagi tidak bekerja," katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, keadaan bertukar kecoh apabila suar, kerusi, kasut, selipar dan botol air dilemparkan ketika Pengerusi Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, berucap.

Forum anjuran Armada PPBM di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7 di sini, itu mulanya berlangsung aman selama hampir sejam.

Suar yang dilempar jatuh hampir dengan pentas utama forum berkenaan, sebelum keadaan menjadi huru-hara apabila beberapa objek dilempar sehingga hampir terkena Dr Mahathir.

6386 dibaca
Berita Harian X