Ahad, 13 Ogos 2017 | 6:42pm
KEADAAN salah sebuah kenderaan selepas kemalangan menyebabkan seorang peniaga pasar tamu maut manakala anak lelakinya cedera ringan selepas kenderaan Perodua Rusa dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta lalu terbabas sebelum merempuh pokok di tepi jalan di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Jambatan Kampung Darau, Manggatal, Kota Kinabalu. - Foto Junaidi Ladjana.

Peniaga tamu maut kenderaan dirempuh

KOTA KINABALU: Seorang peniaga di pasar tamu maut manakala anak lelakinya cedera apabila Perodua Rusa dinaiki terbabas, selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Jalan Tuaran Bypass, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Kublaikan Abdul Taif, 41, yang memandu kenderaan itu meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di dada dan kepala, manakala anaknya berusia sembilan tahun cedera ringan.

Seorang lagi penumpang lelaki berusia 55 tahun parah selepas patah tulang paha dan pinggul manakala pemandu Honda Civic berusia 25 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dari arah bandar raya dengan Perodua Rusa dipandu mangsa menuju ke Tuaran untuk berniaga di pasar tamu pekan itu.

"Bagaimanapun, sebaik tiba berhampiran jambatan Kampung Darau, pemandu Honda Civic dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar belakang Perodua Rusa dipandu mangsa.

"Berikutan itu, Perodua Rusa terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok di tepi jalan menyebabkan pemandu dan dua penumpang termasuk anaknya tercampak keluar," katanya di sini, hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat manakala dua penumpang Perodua Rusa masing-masing dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta QEH2.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

5658 dibaca
Berita Harian X