Jumaat, 4 Ogos 2017 | 6:53pm
KETUA Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun. - Foto Khairull Azry Bidin.

Enam ditahan sebar maklumat palsu

Oleh Siti Azila Alias

sitiazila@bh.com.my

KAJANG: Enam individu termasuk empat wanita ditahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana menyebarkan maklumat palsu berhubung dakwaan 74 kontena mengandungi daging babi terlepas daripada pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis).

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun, berkata semua mereka berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan di kediaman masing-masing di enam lokasi iaitu Pendang, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta Puchong, Hulu Langat, Kapar dan Seri Kembangan di Selangor.

Katanya, tangkapan dibuat SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula jam 11 pagi hingga petang ini, susulan satu laporan dibuat oleh orang awam.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah telefon bimbit, kad sim, komputer riba dan kad memori.

"Semua tangkapan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk suri rumah dan pekerja swasta dan mereka dikenal pasti menyebarkan maklumat yang sudah ditokok tambah itu menerusi akaun Facebook.

"Kita memandang serius terhadap maklumat palsu yang disebarkan ini kerana bukan saja menimbulkan kegusaran serta kekeliruan di kalangan orang ramai, tetapi turut memberi kesan serius.

"Sebagai contoh, berita ini boleh menyebabkan orang ramai tidak mahu makan daging," katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, sebentar tadi.

Mohd Shafie berkata, selain enam individu terbabit, pihaknya turut mengenal pasti lapan lagi individu yang menyebarkan maklumat sama dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, enam individu itu ditahan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dibebaskan selepas selesai diambil keterangan.

"Selain enam tangkapan ini, kita turut kenal pasti lapan lagi individu yang menyebarkan berita sama dan tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima maklumat dan menyemak kesahihannya sebelum menyebarkannya kepada pihak ketiga.

Baru-baru ini, pengguna media sosial kecoh apabila viral mengatakan 74 kontena mengandungi daging babi bercampur daging kambing terlepas daripada pemeriksaan Maqis dan hanya empat kontena yang berjaya ditahan.

Viral itu turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli daging import dan meminta orang ramai menyebarkannya.

Bagaimanapun, Maqis menafikan laporan itu dan menjelaskan hanya satu daripada empat buah kontena yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor bercampur di antara daging babi dan kambing.

Tiga yang lain didapati memalsukan dokumen pengisytiharan kemasukan kerana mengimport daging daripada Sepanyol dan Brazil yang mana ia hanya boleh diimport daripada Australia.

4935 dibaca
Berita Harian X