Selasa, 25 Julai 2017 | 10:38am
Kemalangan melibatkan lori kontena membawa minuman terbabas dan terbakar di km 168.2 Lebuh raya PLUS arah ke selatan menyebabkan laluan ke selatan terhalang. NSTP/IHSAN BOMBA JOHOR
Kemalangan melibatkan lori kontena membawa minuman terbabas dan terbakar di km 168.2 Lebuh raya PLUS arah ke selatan menyebabkan laluan ke selatan terhalang. NSTP/IHSAN BOMBA JOHOR

Lori kontena terbalik, terbakar

TANGKAK: Sebuah lori kontena membawa muatan minuman terbalik dan terbakar di Kilometer 168.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Bukit Gambir di sini, pagi tadi.

Difahamkan, lori kontena terbabit yang dalam perjalanan menuju ke arah Johor Bahru hilang kawalan, merempuh pembahagi jalan, sebelum terbalik dan terbakar.


Kemalangan melibatkan lori kontena membawa minuman terbabas dan terbakar di km 168.2 Lebuh raya PLUS arah ke selatan menyebabkan laluan ke selatan terhalang. NSTP/IHSAN BOMBA JOHOR

Kejadian itu juga menyebabkan laluan PLUS menuju ke arah selatan terhalang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Bakarya Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi tadi.

"Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak dan sebuah dari Balai Bomba Penyelamat Bukit Gambir bersama 10 anggota kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 8.36 pagi.

"Bagaimanapun, pihak bomba menghadapi sedikit kesukaran untuk tiba ke lokasi kerana terdapat segelintir pengguna jalan raya yang turut menggunakan laluan kecemasan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Bakarya berkata, pihaknya mengambil tempoh kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran yang berlaku pada bahagian hadapan lori kontena terbabit, sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana kemalangan hanya membabitkan lori kontena berkenaan sahaja manakala pemandunya dipercayai dapat menyelamatkan diri.

2963 dibaca
Berita Harian X