Selasa, 18 Julai 2017 | 12:06am
SEPASUKAN pegawai penyiasat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Balai Felda, Jalan Gurney, di sini pada jam 10.20 pagi tadi bagi mengambil dokumen berkaitan pembelian sebuah hotel empat bintang oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

FIC: Siasatan tumpu lebihan RM78.4 juta

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas FELDA Investment Corporation (FIC), memfokuskan kepada lebihan pembayaran 14 juta pound sterling (RM78.4 juta) daripada pembelian sebuah hotel bertaraf empat bintang di Kensington, London, oleh syarikat itu.

Difahamkan, dalam proses pembelian hotel bernilai RM330 juta pada tahun 2013 hingga 2015, lebihan wang berjumlah jutaan ringgit yang tidak dilaporkan setelah urus niaga selesai.

Siasatan itu untuk mengenal pasti ke mana wang berkenaan dilaburkan, untuk tujuan apa atau disimpan pihak tertentu.

Hari ini, lapan pegawai SPRM hadir ke pejabat FIC di Balai FELDA di Jalan Gurney di sini, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk memeriksa dan mengambil dokumen serta melakukan siasatan ke atas FIC.

Sumber berkata, SPRM membuka semula kertas siasatan itu selepas menerima maklumat terbaharu terhadap pelaburan yang membabitkan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

"Siasatan kini lebih menjurus kepada lebihan wang hasil pembelian hotel itu yang dianggarkan sebanyak 14 juta pound sterling.

"Hotel itu dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada harga sebenar dan sudah tentu mempunyai lebihan pelaburan dengan jumlah tertentu.

"Kita sedang menyiasat di mana wang itu 'berada' atau dilaburkan menggunakan kaedah tertentu termasuk membabitkan pengubahan wang haram," kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata SPRM kini sedang mengumpul bukti termasuk dokumen penting daripada FIC.

"Pegawai SPRM menyerbu pejabat FIC untuk tujuan itu hari ini dan semakan sedang dilakukan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Baru-baru ini, SPRM memaklumkan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC.

Siasatan awal mendapati FIC membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga mengakibatkan mengalami kerugian jutaan ringgit. 

4648 dibaca
Berita Harian X