Pakaian pramugari AirAsia bukan budaya timur
SYARIKAT penerbangan tambang murah AirAsia diminta menukar segera pakaian seragam pramugari untuk semua penerbangannya kerana ia tidak selaras dengan pendekatan Islam Hadhari.
Perkara itu dicadangkan Exco Wanita Umno, Datuk Zaleha Hussin yang menyifatkan pakaian pramugari syarikat itu bukan saja bertentangan nilai Islam, malah tidak selaras dengan budaya timur.
"Jika ini (pakaian menjolok mata) dibiarkan, ini amat memalukan kerana betis, paha, lutut pramugari dibiarkan terbuka ditonton penumpang. Ini juga memalukan wanita. Ia mesti dipinda.
"Pengurusan AirAsia perlu bertindak segera dan serius kerana Malaysia negara Islam dan kini Islam Hadhari menjadi paksi pemerintahan negara.
"Kita amat malu dengan pakaian pramugari AirAsia. Saya sebenarnya dah lama nak tegur tetapi tiada tempat, Alhamdulillah hari ini boleh sebut perkara ini," katanya ketika membahaskan usul agama dan sosial.
Zaleha berkata, banyak kejadian yang memalukan membabitkan pakaian mencolok mata pramugari AirAsia yang bukan saja menampakkan betis, paha dan lutut, tetapi lebih dari itu.
"Seorang kawan dari Sabah naik kapal terbang AirAsia... pramugari duduk depan dia pakai singkat. Bukan saja nampak lutut, betis dan paha saja tetapi nampak yang lain juga...," katanya.
Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Badruddin Amiruldin yang mencelah ucapan Zaleha berkata pakaian sebegitu menyebabkan apabila pramugari duduk turut menampakkan 'terowong'. Kata-kata Badruddin itu menyebabkan perwakilan ketawa.
Zaleha menyambung perbahasannya berkata, Wanita Umno tidak rela lagi melihat perkara yang terus menerus memalukan wanita.
Beliau turut membangkitkan isu penerapan Islam Hadhari yang perlu dijadikan budaya dalam pelaksanaan pelbagai program di negara ini.
“Contohnya, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri mengakhiri ucapannya dengan doa," katanya.
Beliau turut memuji usaha Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cuba merapatkan parti gergasi orang Islam, Umno dan Pas dalam majlis pelancaran Koridor Pembangunan Pantai Timur (ECER), baru-baru ini.
"Apa yang dilakukan Pak Lah adalah pembudayaan Islam Hadhari walaupun sebelum ini Pas banyak mengeluarkan tohmahan yang Umno kafir," katanya.
|