Sedutan ucapan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz: Perhitungan menempuh 50 tahun

Sejarah beri petunjuk, pengajaran sangat berharga kepada generasi muda

SYUKUR Alhamdulillah, kita dapat sekali lagi mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Pergerakan Wanita Umno, selepas selesai bermesyuarat pada peringkat cawangan dan bahagian masing-masing. Setiap mesyuarat tahunan wajar, bukan saja membawa kita setapak lagi ke hadapan, dalam hayat dan sejarah perjuangan parti, tetapi sepatutnya menjadikan kita lebih matang, bersemangat, dan insaf akan peranan kita sebagai ahli sebuah parti unggul yang komited dan memikul amanah serta bertanggungjawab untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Ahli parti hari ini perlu insaf bahawa kita adalah pewaris tugas dan tanggungjawab dipikul dan dilaksana oleh pemimpin dan pejuang sebelum kita. Mereka secara langsung, membebaskan negara dan bangsa daripada kongkongan penjajah.

Jelas kepemimpinan negara yang bertunjangkan Umno berjaya membawa negara dan rakyat ke tahap kejayaan yang boleh dan wajar dibanggakan. Perkongsian kuasa yang sentiasa didorongi semangat bermusyawarah dan bertimbang rasa, serta kesederhanaan, berjaya membawa kestabilan politik dan sosial yang sangat penting untuk menjadi asas dan prasyarat kepada usaha membangunkan ekonomi negara. Jelas juga bahawa keadaan tidak stabil akan mula dirasakan, apabila unsur cauvinisme, keterlaluan, serta pandangan sempit dibiarkan mendorong tindakan.

Sebenarnya semua pihak, tidak kira keturunan, kaum serta agama, mempunyai hak dan tempat sebagai warga negara Malaysia dan hak serta tempat ini akan lebih terjamin dan kukuh jika rakyat berbilang kaum sebagai bangsa Malaysia, terus memberi sokongan dan mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan agenda dan Misi Nasional yang sudah diterima semua. Lebih-lebih lagi, jangkamasa merealisasi Wawasan 2020 hanya tinggal 12 tahun lagi dan usaha perlu dimulakan untuk membawa negara ke setengah abad akan datang.

Sambil kita menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, kita perlu melakukan ‘stock-taking’ iaitu membuat perhitungan mengenai apa yang sudah berlalu, dan apa yang ada pada kita sekarang, supaya dapat kita rancang dan tentukan pula apa yang wajar dilakukan untuk dekad akan datang. Sejarah sudah banyak mencatatkan segala kecapaian dan kejayaan. Begitu juga sejarah menunjukkan kesilapan dan detik hitam yang tidak harus diulangi. Pengalaman 50 tahun lalu, memberi panduan kepada kita mengenai di manakah punca kekuatan dan kejayaan masyarakat, serta sebaliknya, di mana pula punca dan sebab kelemahan serta kegagalan.

Sejarah boleh memberi petunjuk dan pengajaran sangat berharga. Yang penting ialah kita pada masa sekarang serta generasi akan datang, mesti sanggup belajar daripada sejarah untuk meneruskan apa yang baik dan berfaedah dan mengelakkan apa yang pasti membawa sengketa, perpecahan dan kelemahan kepada negara serta rakyat. Kemerdekaan sudah membebaskan negara daripada penjajahan dan membolehkan rakyat, secara demokrasi, menentukan hala tuju dan nasib negara. Rakyat bebas, menerusi kerajaan yang mereka pilih untuk mengisi kemerdekaan itu.

Proses mengisi kemerdekaan itu akan berterusan untuk selama-lamanya dan tidak akan selesai. Proses serta usaha itu akan menjadi semakin mencabar dan kompleks, oleh kerana persekitaran serantau dan global akan secara langsung dan tidak langsung, mempunyai impak dan kesan terhadap negara kita.

Cabaran persekitaran inilah yang akan menentukan dasar serta pendekatan yang wajar diambil dan dilaksana, menghala 50 tahun akan datang. Dunia semakin mementingkan ilmu dan ilmu akan mendorongkan kemajuan dalam semua bidang ilmu dan pengetahuan mesti menjadi bekalan asas generasi muda sekarang. Ilmu dan pengetahuan itu mesti relevan dan sesuai untuk keperluan negara. Dalam konteks ini, wanita mesti terus diberi laluan atau akses untuk memperoleh apa jua pengetahuan pendidikan, latihan dan kemahiran yang wajar sebagai modal insan.

Wanita tidak boleh ketinggalan dalam memupuk kemahiran dalam bidang baru ini. Seperkara penting yang perlu dipastikan untuk negara dan masyarakat terus berjaya dalam persekitaran yang dipengaruhi globalisasi ialah supaya generasi kini dan yang akan datang, mempunyai minda, sikap, pandangan dan wawasan global untuk melengkapi nilai positif yang telah sekian lama membentuk kewarganegaraan dan tatasusila rakyat.

Orang tua-tua dulu, sentiasa berpesan supaya seseorang itu ‘jangan menjadi seperti katak di bawah tempurung’. Berabad-abad sebelum diperkatakan tentang ‘anjakan paradigma’ dan ‘memikir di luar kotak’, nenek moyang kita sudah mengajar kita berfikir dan melihat kepada dunia yang lebih luas, daripada apa kita lazimnya dikongkong, seperti sebuah tempurung. Sekarang dunia disalingkaitkan antara satu pelosok dengan pelosok yang lain, oleh fenomena ‘world wide web’ atau ‘www’. Ini seolah-olah jalinan sarang labah-labah yang sangat kompleks dan terperinci, yang melaluinya segala maklumat, ilmu dan unsur telekomunikasi berjaya disalurkan.

Internet akan terus menjadi asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Rakyat Malaysia mesti terus memanfaatkan ICT untuk meningkatkan keupayaan, produktiviti dan kecekapan. Tidak wajar adanya tempurung, yang mengehadkan keupayaan minda dan kebolehan kita. Sudah pasti, apabila minda dan pandangan lebih meluas dan global, maka akan terlihat dan diterapkan pula unsur luaran yang bukan semuanya positif dan baik. Akan ada yang negatif dan perosak, yang akan ditiru dan diterima. Di sinilah letaknya tanggungjawab ibu bapa dan penjaga untuk memantau dan mengawasi, serta membimbing dan menasihat.

Suasana keterbukaan yang ada sekarang perlu memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara, supaya percambahan minda dan fikiran meningkatkan keupayaan masyarakat dan negara, untuk bersaing dan berlumba, mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Bagaimanapun, ada pihak yang menyalahguna suasana terbuka ini dan mula muncul bibit-bibit cauvinisme dan pergeseran. Demokrasi dan kebebasan individu dalam tafsiran demokrasi tidak harus memudaratkan yang lebih ramai. Kumpulan kecil tidak boleh dibenarkan mengkhianati kepentingan majoriti, dengan mengganggu gugat kestabilan, perpaduan dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum.

Pergerakan Wanita Umno tidak mahu sikap keterbukaan pemimpin, dijadikan alat oleh mana-mana pihak menjejaskan kepentingan masyarakat dan negara dan menjadi alasan tindakan antinasional dan merosakkan suasana keharmonian yang dipupuk selama ini. Jangan dibiarkan demokrasi disalah tafsir dan disalah guna sehingga sentimen negatif diapi-apikan, dan kestabilan tergugat.

Kerap kali ada pihak bertanya sama ada Umno masih relevan dan ada yang bimbang akan kelangsungan hidup atau survival Umno pada masa akan datang. Persoalan ini mungkin didorong pergolakan diperhatikan dalam Umno serta perubahan dalam budaya yang diamalkan dalam Umno. Perlu ditegaskan dan diingatkan bahawa Umno sudah begitu berjasa kepada orang Melayu dan kepada rakyat serta negara. Pemimpin terdahulu dan sekarang, tanpa memikir kepentingan diri membawa rakyat dan negara serta orang Melayu ke tahap yang dibanggakan sekarang.

Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Ia terukir dalam sejarah. Insya-Allah, selagi Umno berfungsi menaungi orang Melayu dan rakyat Malaysia dan selagi Umno berfungsi dan berperanan sebagai tunjang kerajaan, ia tetap relevan dan bahkan, tetap diperlukan.

Rakyat berbilang kaum sudah menerima Agenda dan Misi Nasional dalam mana termaktub Agenda Melayu. Segala matlamat yang ditentukan memerlukan keupayaan bukan saja pada pihak kerajaan, tetapi juga rakyat. Pelbagai inisiatif jangka panjang sudah dilancarkan. Antaranya, ialah kawasan koridor pembangunan di selatan, utara dan timur, masing-masing dengan tumpuan kepada bidang tertentu untuk menjana pembangunan ekonomi lebih seimbang.

Bagaimanapun, usaha kerajaan ini perlu dilengkapi usaha dalam keluarga dan rumah tangga, terutama dalam asuhan agama, sikap dan nilai yang baik. Gejala negatif masih menular dalam masyarakat dan kes jenayah masih menjadi tonjolan media. Jenayah dalam keluarga masih berterusan dan wanita serta kanak-kanak terus menghadapi keganasan serta penderaan. Malaysia tidaklah tersendiri dalam konteks ini, kerana ia sebenarnya satu fenomena di banyak negara. Namun, ia perlu dibendung dan nilai masyarakat yang cenderung kepada membela, menghargai dan menghormati wanita serta kanak-kanak perlu diasuh, manakala wanita pula wajar dididik mampu berdikari dan faham hak mereka.

Melihat ke belakang selama 50 tahun berlalu, satu hakikat yang jelas dilihat iaitu kita dalam Umno boleh berdebat, berbahas, dan mendesak tentang hak dan keistimewaan orang Melayu serta mengusulkan mengenai arah dan hala tuju dasar negara. Ini semata-mata kerana parti kita Umno adalah teraju kerajaan BN yang berasaskan pada awalnya menerusi Parti Perikatan. Pemimpin Umno adalah pemimpin kerajaan, maka dapat dipertimbangkan apa dibahas dan didebatkan itu. Itulah keistimewaan dan nikmatnya apabila parti kita Umno bersama rakan BN menjadi pemerintah dan parti yang menubuhkan kerajaan.

Maka sangat perlu diusaha dan dipastikan, supaya pada masa akan datang, Umno dan BN tetap menjadi parti yang mentadbir negara sebagai kerajaan. Ini menjadi realiti apabila Umno dan BN terus memenangi pilihan raya, pada setiap kali ia diadakan. Dalam konteks ini, Pergerakan Wanita Umno sudah sekian lama berperanan sebagai jentera parti pada peringkat akar umbi dan kini pendekatan Ketua 10 sudah menjadi asas kepada kerja menghadapi pilihan raya.

Tidak perlu kita bertanya bila akan diadakan pilihan raya umum. Ia pasti diadakan, tetapi yang penting ialah kita sudah bersiap sedia dan tiada kerja dan usaha tertinggal atau tidak dilaksanakan. Banyak masa sudah diberikan untuk bersiap sedia dan kita perlu berada sentiasa pada tahap ‘gear penuh’ atau ‘full gear. Motivasi asas kita bekerja ialah untuk memastikan Umno dan BN terus menang dengan besar dalam pilihan raya supaya dapat diteruskan Agenda Nasional dan Agenda Melayu.

Buat masa ini, usahlah dibuat percaturan politik tentang siapa jadi calon kerana individu tidak penting. Biarlah pucuk pimpinan menentukan senarai calon. Jika Allah menentukannya, maka seseorang itu akan dipilih. Segala-galanya adalah takdir. Tugas dan tanggungjawab kita ialah bekerja dan berusaha demi untuk agama, bangsa dan negara.

Hari ini, kita sudah diwariskan sebuah negara yang maju, dihormati dan berwibawa. Segala-galanya adalah hasil perjuangan dan usaha pemimpin dan pejuang terdahulu dan sekarang. Ramai sudah pulang ke Rahmatullah. Masih ada yang bersama-sama kita, penuh bersemangat, dan menaruh harapan bahawa kita akan meneruskan perjuangan mereka. Di sini, saya ingin mengajak generasi muda supaya mengubah semantik dan ungkapan seperti ‘mewarisi kuasa’, ‘pelapis kepemimpinan’, serta ‘ambil alih jawatan’, kepada ‘mewarisi dan mengambilalih kerja serta tanggungjawab’ dan ‘mengambil alih beban perjuangan’. Bilangan jawatan terlalu terhad dan tidak boleh semuanya bercita-cita mendapat kuasa atau jawatan.

Marilah kita bersama-sama merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pejuang bangsa dan negara ini, yang selama 50 tahun memberi kita manfaat yang kita nikmati sekarang. Marilah kita sama-sama teruskan, sedaya upaya kita, kerja dan perjuangan mereka. Kita mesti pastikan supaya negara dan rakyat tetap merdeka, tetap bebas menentukan destinasi serta masa depan.

Kita mesti merdeka dan terus merdeka. Marilah kita laungkan merdeka tujuh kali, supaya kita terus bersemangat untuk bekerja dan berjuang. Merdeka! merdeka! merdeka! merdeka! merdeka! merdeka! Merdeka!. Sekian, selamat bersidang.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768