|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita ikrar taat setia
KUALA LUMPUR: Wanita Umno mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz dan mahu pihak di luar Wanita Umno tidak mengganggu gugat perpaduan sayap kanan parti itu.
Semua Exco Wanita Umno yang berucap, termasuk Naib Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil secara terbuka menyatakan sokongan dan kesetiaan kepada Rafidah, selain mengakui kemampuannya menerajui Wanita Umno.
"Saya tidak mahu menderhaka kepada ketua dan sokongan saya akan diteruskan serta tidak akan berubah selagi Rafidah menjadi ketua," kata Shahrizat.
Katanya, pendiriannya tidak berubah dari saat pertama kerana amat menghormati kebijaksanaan dan rekod perjuangan Rafidah di dalam Kabinet dan Wanita Umno.
Beliau berkata, Rafidah bukannya calang-calang pemimpin wanita dan tidak mudah untuk ditandingi.
"Saya akan terus membantu Datuk Seri (Rafidah) sebagai Ketua Wanita untuk memastikan Wanita Umno tetap stabil dan bersatu supaya kita dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerja pilihan raya yang akan datang.
"Prinsip dan hati saya terpahat kepada tradisi dan budaya Umno yang tulen. Saya orang lama... walaupun zaman beralih, musim bertukar, berkat Umno dikandung adat; dalam apa juga tindak tanduk kita sebagai ahli jangan sesekali-kali melebihi parti dan pertiwi; biarlah belajar bernakhoda yang akhbariyyah (terkanan) dan arsyadiyyah (kematangan) bertanya pada yang tahu, berkata dengan yang pandai, sepakat kita kuat, berpecah kita rebah.
"Yang buruk buanglah dengan rundingan yang baik, ditarik dengan muafakat supaya tali jangan putus, kaitan jangan tekah. Adat Melayu pantang menderhaka, yang muda disayangi, yang tua dihormati. Bak kata pepatah, naik tangga biarlah dari bawah, alur bertempuh, jalan berturut," katanya dalam ucapan mewakili Wanita Umno Wilayah Persekutuan.
Sokongan itu disuarakan berikutan ada pihak mahu mencalonkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman bagi mencabar Rafidah pada pemilihan pergerakan itu tahun depan. Cadangan itu dikemukakan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
Selain Shahrizat, hampir semua pembahas yang mewakili negeri ke persidangan pergerakan itu turut menyatakan sokongan terhadap Rafidah dan meminta orang di luar pergerakan itu tidak mencampuri urusan pergerakan berkenaan.
Exco Wanita, Datuk Dr Kamilia Ibrahim ketika mencadangkan usul ucapan dasar Ketua Wanita Umno mengajak ahli pergerakan itu taat setia kepada pemimpin parti terutama Rafidah.
Katanya, pergerakan itu terhutang budi terhadap Rafidah yang banyak membawa perubahan kepada Wanita Umno dan wanita di negara ini.
Penyokong usul yang juga Exco Wanita, Datuk Siti Jeliha @ Zaleha Hussin, berkata beliau tidak reda dan rela Wanita berpecah berikutan ada pihak yang mahu menawarkan diri untuk bertanding menentang Rafidah pada pemilihan tahun depan.
"Malah, hari ini sudah ada pihak yang mengedarkan akhbar ini (Buletin Rakyat) yang mengandungi artikel Azalina lawan Rafidah, untuk meruntuhkan pembinaan kita (Wanita Umno)," katanya.
Sementara itu, pembahas mewakili Melaka yang juga Ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Hazizah Mohd Sultan, berkata beliau berharap gandingan mantap antara Rafidah dan Shahrizat dapat diteruskan dan jangan mana-mana pihak mengganggu gugat mereka.
FAKTA: Usul Ucapan Dasar Ketua Wanita Umno
Pencadang: Exco Wanita Umno, Datuk Dr Kamilia Ibrahim
Penyokong: Exco Wanita Umno, Datuk Zaleha Hussin
Mensyukuri nikmat 50 tahun Kemerdekaan hasil perjuangan dan kepemimpinan berwibawa Umno, yang diterajui lima Perdana Menteri yang berjaya mengekalkan keamanan, kemajuan dan pembangunan negara;
Menyedari teras utama bagi menegakkan negara bangsa terbilang yang stabil, ekonomi dinamik dan masyarakat yang beretika berlandaskan prinsip luhur dan nilai terbaik dalam Islam;
Menginsafi politik negara adalah bertunggakkan prinsip Rukun Negara;
Mengiktiraf ekonomi yang dinamik adalah tunjang untuk terus menjana peningkatan, pengagihan dan perkongsian kekayaan supaya lebih saksama serta peluang yang sama rata di kalangan semua kaum;
Mengakui bahawa pembangunan modal insan adalah kritikal untuk menjana perkembangan ekonomi dan pembangunan masyarakat serta negara;
Menghargai bahawa pembangunan negara perlu diseimbangkan dengan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar; maka Pergerakan Wanita Umno,
- Memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bersama berusaha untuk merealisasikan pendekatan Islam Hadhari yang hakiki, berusaha demi memperkukuhkan bangsa Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
- Menggesa supaya dijalankan usaha dan program bagi memastikan penghayatan prinsip Rukun Negara yang menjadi tiang pembinaan negara bangsa, dibudayakan oleh semua warga Malaysia untuk memupuk dan memperkukuhkan semangat patriotisme dan sayangkan negara dan bangsa, bagi menjamin kesejahteraan Malaysia bagi 50 tahun akan datang dan seterusnya
- Menyarankan ekonomi dan perniagaan dalam dan luar negara lebih kompetitif, berdaya tahan, dinamik dan peluang dibuka kepada semua tanpa mengabaikan kepentingan dan pegangan ekonomi Bumiputera
- Mencadangkan pembentukan pelan pembangunan sumber manusia yang komprehensif dan bersepadu untuk menyediakan secara berterusan, tenaga manusia berilmu, berkemahiran serta yang mempunyai nilai jati diri beretika dan berintegriti
- Mengesyorkan pelan tindakan pemuliharaan alam sekitar digubal memastikan negara mampu, secara berterusan menangani fenomena perubahan iklim serta pemanasan global.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|