Ucapan bersemangat Halimah dikagumi

WAKIL Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique, menarik perhatian perwakilan berikutan kelantangannya bersuara sehingga menggamatkan persidangan, terutama apabila meminta kerajaan membatalkan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Ucapan Halimah yang juga Exco Wanita Umno, sentiasa mendapat tepukan gemuruh perwakilan, sekali gus memberinya semangat bagi menyuarakan pandangan termasuk mempertahankan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan mempersoalkan kewajaran Kementerian Pelajaran menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran ber-kenaan.

"Mengapa hendak digunakan bahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu sudah terbukti mampu menjadi bahasa ilmu dan melahirkan profesional seperti jurutera, peguam dan sebagainya.

"Malah, bangsa Jepun dan Perancis, mampu menjadi negara maju dengan hanya menggunakan bahasa ibunda mereka.

"Adakah kita pula tidak mampu untuk menjadi maju hanya kerana menggunakan bahasa Melayu," katanya ketika membahas ucapan dasar Ketua Wanita Umno.

Halimah berkata, Wanita Johor mencadangkan supaya satu kajian dilakukan untuk mengetahui keberkesanan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik sejak ia diperkenalkan dan prestasi pelajar termasuk yang berada di luar bandar.

Katanya, jika terbukti prestasi pelajar semakin merosot terutama pelajar Melayu, beliau mahu penggunaan bahasa Inggeris dibatalkan.

Halimah bagaimanapun menekankan sokongan Wanita Johor terhadap segala dasar kerajaan, termasuk untuk memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan rakyat terutama golongan muda.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768