Kritik Presiden perlu saluran betul: Rafidah
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata Presiden Umno boleh dikritik tetapi harus disampaikan melalui saluran betul dalam parti, bukan secara terbuka melalui media.
Berikutan itu beliau menafikan dakwaan, Umno tidak mengamalkan ketelusan apabila pelbagai pihak dalam parti mengkritik Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir kerana memperlekehkan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Rafidah berkata, Wanita Umno mempunyai pengalaman menyuarakan pandangan kepada Abdullah berhubung perkara yang tidak disenangi pergerakan itu tetapi ia tidak pernah disuarakan kepada media, sebaliknya melalui saluran parti.
“Presiden boleh terima kritikan. Mukhriz berada dalam Exco Pemuda, kenalah ikut saluran. Anda fikir kami tak pernah kritik Presiden, Pak Lah atau Tun (Dr Mahathir)? Kami buat melalui saluran.
“Saya sudah 31 tahun dalam Majlis Tertinggi (MT). Setiap kali mesyuarat MT, apa yang Wanita Umno sampaikan kepada saya, saya sampaikan kepada Pak Lah. Dalam mesyuarat berjam-jam, kami sampaikan luahan hati Wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Sambutan Aidilfitri Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam. Hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada majlis itu, Najib menyampaikan Anugerah Wanita Veteran kepada 66 bekas pemimpin Wanita Umno. Najib, Rosmah, Rafidah dan Shahrizat turut menyertai tarian lagu ‘Poco-poco’ ketika sekumpulan ahli Wanita Umno dari Langkawi menari di atas pentas.
Rafidah berkata, sebagai Ketua Wanita dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, beliau boleh mengadakan sidang media jika ingin menyatakan rasa tidak puas hati pergerakan itu terhadap pucuk pimpinan parti tetapi beliau sedar kaedah berkenaan tidak betul.
Sambil menyifatkan kritikan Mukhriz tidak dijangka, beliau berkata, perkara seumpama itu kali pertama didengarnya sepanjang mengikuti Perhimpunan Agung Umno sejak 40 tahun lalu.
|