FTA diteliti sebelum dimeterai
KETUA Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, memberi jaminan kerajaan akan mengutamakan kepentingan negara sebelum memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan mana-mana negara.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), berkata Malaysia tidak terikat dengan mana-mana rakan dagang untuk memeterai FTA jika permintaan kerajaan tidak diterima, walaupun rundingan sudah dimulakan.
Rafidah mengaku ada aspek dalam liputan FTA mempunyai kaitan dasar kerajaan termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Agenda Melayu dan Misi Nasional.
"Ia hak kerajaan untuk menentukan dan kerajaanlah yang akan memutuskan sama ada menerima atau melayan mana-mana permintaan rakan dagang.
"Hakikatnya kerajaan tidak akan melayan permintaan yang menjejaskan, menghakis pelaksanaan dasar atau menyentuh hak mutlak kerajaan melaksanakan dasar tertentu.
"Tidak ada pihak sama ada Amerika Syarikat atau sesiapa juga yang berhak menentu arah mana dasar negara kerana hanya kerajaan yang berhak menentukan. Ini asas mana-mana rundingan FTA," katanya menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2006.
Beliau menjawab kebimbangan yang dibangkitkan perwakilan mengenai FTA yang dikatakan akan menjejaskan kuasa penentu kerajaan, sekali gus memberi kesan kepada kepentingan Melayu.
Rafidah berkata, FTA tidak akan dimeterai jika tidak membawa faedah atau membabitkan perkara yang tidak boleh dikompromi atau dilayan kerajaan.
"Rakyat hendaklah yakin kerajaan sentiasa berhemah dan teliti dalam setiap rundingan FTA dan kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat amnya dan agenda Melayu," katanya.
Ketua pergerakan Wanita itu berkata, Malaysia sudah memeterai FTA dengan Jepun yang berkuatkuasa 17 Julai 2006, sementara rundingan masih berlangsung dengan Amerika Syarikat, Pakistan, Australia dan New Zealand manakala kajian sedang dijalankan dengan India dan Chile.
Pada peringkat serantau, Asean memeterai FTA dengan China dan Korea Selatan serta sedang merundingkan dengan India, Australia dan New Zealand.
Rafidah menjelaskan kerajaan akan menilai dengan terperinci kos dan faedah yang akan diperoleh dalam setiap rundingan FTA.
Katanya, FTA menyediakan peluang kepada negara meneroka pasaran baru sementara kerjasama ekonomi dan teknikal, sekali gus meningkatkan keupayaan dalam bidang tertentu seperti pembangunan modal insan.
Mengenai ketiadaan unit pembangunan Bumiputera di kementerian berkenaan, Rafidah berkata, Miti membubarkan unit itu kerana pelaksanaan Agenda Melayu tidak harus diletakkan di bawah satu unit.
"Setiap kementerian dan agensi dalam jentera kerajaan mesti bertanggungjawab secara menyeluruh bagi memastikan dasar penyertaan Melayu dan Bumiputera dilaksana dengan berkesan... bukan hanya melalui satu unit saja," katanya.
Mengulas dakwaan Malaysia tidak menerima kemasukan pelaburan, beliau berkata, dalam sembilan bulan pertama tahun ini, 865 permohonan perkilangan bernilai RM40.3 bilion diterima membabitkan 539 projek baru dan 326 permohonan untuk membesarkan projek sedia ada.
Dalam tempoh sama, katanya, Malaysia menerima pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM13.5 bilion dan 71,979 pekerjaan akan diwujudkan dengan 64.3 peratus peringkat pengurusan, teknikal dan tenaga kerja mahir.
Malaysia juga, katanya, dalam 10 bulan pertama tahun ini, meluluskan 771 projek bernilai RM35.2 bilion meliputi 134 projek asas tani bernilai RM2.7 bilion, bioteknologi (dua) RM13.3 juta, Koridor Raya Multimedia (MSC) (175) RM1.75 bilion dan pejabat serantau (137).
Bagi mempromosi barangan halal, Malaysia mempunyai piawaian halal yang diwartakan iaitu MS1500:2004 yang mematuhi syarak dan standard antarabangsa.
"Kerajaan akan pastikan promosi berterusan barangan halal. Penubuhan Perbadanan Kemajuan Industri Halal adalah untuk menjadikan Malaysia hab halal dunia," katanya.
Rafidah juga tidak ketinggalan menyelit pantun dalam penggulungannya untuk menyimpul tanggungjawab menanti ahli parti.
Pulau Pandan jauh ke tengah
Terlalu jauh untuk direnang
Hancur badan dikandung tanah
Jasa Umno tetap dikenang
Peluang disenangi sedia menanti
RMK9 terang dan jelas
Berpadu kita kuatlah parti
Mudah Presiden jalankan tugas
|