Drama asing tak sesuai bina minda
DRAMA asing, Bawang Putih Bawang Merah yang menjadi 'kegilaan' ramai, mendapat perhatian perwakilan kerana dikatakan menyelitkan unsur negatif serta tidak sesuai untuk pembinaan minda generasi muda.
Wakil Wanita Umno, Rahimah Idris, berkata drama bersiri yang ditayangkan empat kali seminggu selama sejam itu, bertentangan dengan pendekatan Islam Hadhari yang diperjuangkan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Penerangan meneliti kemasukan drama dan filem asing terutama dari Indonesia dan Filipina yang menampilkan banyak unsur negatif.
“Kita nak terapkan agama, suruh anak pakai tudung, pakai serban tapi drama yang ditayangkan tak pakai baju dan kalau pakai pun 'semi' (separuh) saja.
"Dah macam tak boleh nak buat apa, di rumah, di pejabat pun sama. Bila telefon tak angkat, sebab kat pejabat ada televisyen," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh perwakilan.
Rahimah juga menarik perhatian perwakilan apabila menegur tindakan isteri orang kenamaan yang memakai pakaian mencolok mata.
"Kami ni bab baju memang sensitif, tolong ingatkan rakan-rakan di atas, kami ni malu. Kalau dah tiga suku terkeluar, apa lagi yang nak ditutup," katanya disambut teriakan bergema dalam dewan sehingga Pengerusi Tetap, Tan Sri Onn Ismail, terpaksa mententeramkan suasana.
Mengenai stesen televisyen swasta pula, wakil Wanita itu mahu kuasa Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang mengeluarkan lesen ditarik balik.
|