Wanita bidas graduan IPTA suka tukar kerja

Menteri Pelajaran kena kerap lawat sekolah, pastikan dasar dilaksana

KUALA LUMPUR: Wakil Wanita Umno, Dr Azizah Johor, menegur sikap segelintir graduan Melayu yang lebih mementingkan wang sehingga sering bertukar pekerjaan dalam tempoh yang pendek walaupun hanya mendapat tawaran kenaikan gaji sebanyak RM200.

Beliau berkata, tindakan itu merugikan mereka untuk membina laluan kerjaya yang cemerlang kerana tidak akan mendapat pengalaman yang sepatutnya.

Azizah berkata, perbuatan melompat kerja itu dilakukan graduan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) hingga memberi imej buruk kepada institusi berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Wanita Lumut, turut membidas IPTA yang gagal menghasilkan graduan kelas dunia.

"Ubah itu, ubah ini. Tambah itu, tambah ini. Tetapi pengangguran jarang didengar di kalangan kaum lain. Jadi, setakat mana kualiti pendidikan dan graduan yang dikeluarkan IPTA." katanya ketika menyokong usul ekonomi dan pendidikan.

Azizah yang pernah bertugas dengan Bank Negara Malaysia (BNM) selama 13 tahun, juga berkata, kejayaan pembangunan modal insan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bergantung kepada kualiti pendidikan sama ada pada peringkat universiti atau sekolah.

Beliau mengambil kesempatan memberitahu Ketua Pemuda yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang duduk di berisan Majlis Tertinggi bahawa jika produk yang dikeluarkan sekolah bermutu, lebih mudah produk universiti untuk menghasilkan produk kelas dunia.

"Elok acuan, eloklah kuihnya." katanya sambil disambut tepukan dan sorakan perwakilan.

Azizah yang membahasakan Menteri Pelajaran itu sebagai 'adik' juga meminta Hishammuddin lebih kerap melawat ke sekolah untuk memastikan segala perancangan Kementerian Pelajaran dilaksanakan dengan lebih baik pada peringkat bawahan.

"Dik, turun-turunlah padang. Jadi macam Khalifah Harun Ar Rashid (pemimpin Islam di Baghdad) atau Sultan Alaudin Riaayat Shah (Sultan Melaka) yang sering mendampingi rakyat untuk mendapat gambaran sebenar mengenai negara mereka. Jangan marah dik, bila 'keme tegor' (saya tegur). Bila 'tegor' maknanya sayang," katanya.

Azizah juga meminta Kementerian Pelajaran mengkaji secara terperinci pelajar tercicir sama ada pada peringkat sekolah rendah dan menengah untuk membantu pelajar luar bandar sebelum mengadakan sebarang program mendidik semula mereka.

Sementara itu, wakil Selangor Datuk Salamon Salamat ketika mencadangkan usul berkenaan antara lain meminta parti komponen Barisan Nasional (BN) turut menyokong matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memperkasa Sekolah Kebangsaan (SK).

Ketika ini, katanya, hanya Umno yang menyokong penuh usaha memperkasa SK, menyebabkan hanya enam peratus pelajar Cina yang berusia enam hingga 11 tahun di SK pada tahun lalu dan dijangka meningkat kepada 12 peratus pada 2010.

Beliau berkata, jumlah pelajar India di SK lebih baik iaitu 43.2 peratus pada tahun lalu dan dijangka meningkat kepada 60 peratus dalam tempoh lima tahun lagi.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768