Wanita ikrar tidak beri ruang cubaan gugat perpaduan
WANITA Umno semalam berikrar tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pihak yang cuba mengancam dan menggugat perpaduan serta kestabilan parti, termasuk pada peringkat sayap pergerakan itu.
Wakilnya, Norliza Ahmad, berkata sepanjang susur galur perjuangan Umno, perpaduan adalah benteng kekuatan orang Melayu dan parti.
“Umno sudah mengangkat martabat kita kepada kedudukan yang tinggi, oleh itu kita tidak harus leka dan selesa,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden.
Norliza yang juga Ketua Umno Bahagian Kapar berkata, Wanita sedar bukan mudah mengekalkan keharmonian keluarga, apa lagi urusan pentadbiran negara yang sentiasa digugat oleh sifat sakit hati dan dengki khianat pihak tertentu.
Justeru, katanya adalah penting setiap ahli Umno bersatu kerana jatuh bangun orang Melayu adalah tanggungjawab orang Melayu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohd Khir Toyo) selalu berpesan supaya kita jangan lebih berpolemik dalam politik. Oleh itu, sokongan Wanita kepada kepemimpinan parti adalah bulat, cinta kepada parti adalah sejati dan berkekalan,” katanya.
Norliza mengakhiri ucapannya dengan serangkap pantun:
"Cinta kepada jejaka, jejaka akan mati akhirnya, Cinta kepada bunga, bunga akan layu sudahnya, Tetapi cinta kepada agama, bangsa dan negara, Itulah cinta yang mulia, Wanita anggun, Pemuda segak Puteri pula tampak berseri,
Datuk Seri Paklah jangan berganjak, Teruskan perjuangan Islam Hadhari."
|