‘Waspada budaya fitnah’

Tindakan tuduh menuduh jejas perancangan pembangunan kerajaan

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, mengingatkan parti dan kerajaan supaya berhati-hati dan mengambil tindakan tegas terhadap budaya menuduh serta memfitnah yang kini menjadi lumrah sehingga memudaratkan negara.

Beliau berkata, penghinaan dan kecaman berbaur fitnah terhadap pemimpin bukan saja menghalang usaha parti, malah menggugat perancangan kerajaan untuk membangunkan rakyat serta negara.

Rafidah berkata, usaha menjayakan pembangunan memerlukan persekitaran yang mendorong dan menggalakkan, kestabilan politik dan sosial serta ketenteraman untuk membolehkan kerajaan membuat perancangan jangka panjang.

"Ganggu gugat serta halangan sama ada dalam parti, dalam masyarakat atau dari luar akan menghalakan perhatian kerajaan dan rakyat kepada perkara tidak produktif yang mungkin memecah belah sesama sendiri.

"Suasana lebih liberal sekarang akan sentiasa mengundang kritikan, pandangan dan kenyataan sama ada dalam media cetak atau elektronik dari dalam atau luar negara.

"Tidak semua yang dizahirkan itu membina atau positif. Bahkan ada yang tidak betul sama sekali dan ada yang memudaratkan negara, terutama apabila pemimpin dan kerajaan dikecam dan dihina.

"Perlu diingatkan bahawa titisan air yang berterusan ke atas batu akan lama kelamaan menghakis batu itu dan akhirnya dengan kesan sejuk dan panas, batu itu akan retak dan pecah," katanya pada ucapan dasarnya pada perhimpunan perwakilan pergerakan itu.

Rafidah berkata, perpaduan yang dinikmati sekarang, jika diasak dengan gejala pecah belah, fitnah, dakyah dan kepentingan kelompok, maka parti akan terhakis kuasa dan kewibawaannya.

"Agenda Melayu juga akan tinggal terbengkalai di atas kertas dan hanya menjadi laungan kosong. Maka kita, sebagai ahli parti perlu ingat bahawa 'Bersatu Teguh, Bercerai Roboh," katanya.

Mengenai Melayu, beliau berkata, walaupun miskin daripada segi takrif ekonomi, mereka perlu disedarkan bahawa orang Melayu tidak miskin tenaga, kemampuan berfikir dan kemahuan untuk maju.

Katanya, orang Melayu perlu disedarkan potensi mereka untuk maju dan mencapai kecemerlangan, tetapi harus diasuh bahawa mereka masyarakat mempunyai sejarah, bertamadun dan mampu mencapai kejayaan.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768