Wanita berpengaruh ubah masyarakat

WANITA Umno yang dianggotai lebih 1.33 juta ahli, mempunyai pengaruh dan peranan besar untuk membawa perubahan serta kemajuan positif kepada masyarakat serta negara, kata Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, jika setiap ahli boleh mempengaruhi lima individu, maka lingkungan pengaruh Wanita Umno akan menjangkau lebih 6.6 juta orang, iaitu suku daripada jumlah penduduk negara.

Rafidah berkata, angka itu adalah kuasa pengaruh yang boleh membantu membawa masyarakat ke arah kemajuan lebih cemerlang dan gemilang.

Berikutan itu, katanya, Wanita Umno tidak boleh lupa hakikat bahawa pergerakan itu adalah organisasi akar umbi.

"Kaitan dengan pengundi dan masyarakat sangat rapat dan dengan itu wajarlah setiap aktiviti dan program Wanita Umno lebih cenderung kepada aktiviti pada peringkat akar umbi," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu.

Rafidah turut mengingatkan wanita bahawa parti tidak boleh kukuh dan berupaya hanya dengan slogan, cogan kata dan ucapan berapi-api serta bersemangat.

Sebaliknya, yang menjadi penentu adalah sama ada pengundi mengundi Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya berdasarkan penilaian terhadap prestasi parti.

"Mereka akan menilai parti dari segi keberkesanan kerajaan yang bertunjangkan Umno dalam memenuhi aspirasi dan harapan mereka. Pendek kata mereka menilai sama ada kita menerajui kerajaan berjaya menghasilkan apa yang dijanjikan," katanya.



Sehubungan itu, beliau berkata, Wanita Umno mesti memulakan dari sekarang, menghalusi strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira bila ia diadakan.

Katanya, Wanita Umno tidak ada masa untuk berpolemik dan berdebat berpanjangan, sebaliknya meneruskan kerja peringkat akar umbi pada peringkat ketua 10 dan saluran pengundi.

Rafidah berkata, keberkesanan Wanita Umno terletak kepada bilangan undi yang boleh diperoleh Umno dan BN serta majoriti kerusi yang diraih BN dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

"Wanita boleh berfungsi sebagai 'vote delivery system' atau sistem penyampaian undi kepada Umno dan BN dengan berganding bahu bersama pergerakan wanita parti komponen BN lain.

"Kalau sistem ini 'break down' (rosak) maka break downlah segala-galanya. Maka sistem Wanita Umno mesti kemas, cekap dan berkesan. Kerja kita mesti berstrategi, teratur dan tersusun serta menepati sasaran," katanya.

Beliau juga mengingatkan dalam suasana persekitaran, serantau dan global yang semakin mencabar, Malaysia dan rakyatnya mesti berwaspada terhadap apa juga gejala negatif yang boleh melemahkan keupayaan dan keutuhan negara.

"Kita perlu mengenalpasti unsur dan sumber kekuatan serta perpaduan di kalangan kita yang boleh membawa negara mencapai matlamat Wawasan 2020, sebuah negara maju berdasarkan acuan kita sendiri," katanya.

Rafidah berkata, sudah tiba masanya penduduk pelbagai keturunan mengukuhkan perpaduan menghadapi ancaman luar dan berusaha membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia telah dan boleh mencapai kecemerlangan.

Orang Melayu pula, katanya, telah ditentukan hak-hak dan kedudukannya oleh Perlembagaan Negara dan tidak perlu untuk mana-mana pihak berdebat atau berhujah mengenainya.

"Dalam bahasa Inggeris dikatakan 'it's a given' iaitu 'telah sememangnya begitu'," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768