Syor lucut hak istimewa jika murtad

SEORANG perwakilan Wanita Umno mencadangkan hak keistimewaan orang Melayu Islam yang meninggalkan agama itu dilucutkan sebagai hukuman terhadap golongan murtad.

Wakil Kedah, Khalijah Arshad, turut mencadangkan supaya undang-undang dan peraturan berkaitan dikaji bagi mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam negara ini.

Ketika menyokong usul agama dan sosial pergerakan itu, Khalijah juga mahu agenda sosial Melayu digerakkan bagi menangani kes keruntuhan akhlak dan pelbagai isu sosial lain yang dihadapi Melayu sekarang.

"Kita mencadangkan mekanisme lebih berstruktur dan mengandungi strategi baru bagi menangani isu sosial orang Melayu sekarang," katanya.

Beliau berkata, Umno Kedah juga mencadangkan undang-undang keluarga Islam berkaitan tanggungjawab ibu bapa yang cuai menjaga anak, digubal bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka.

Khalijah berkata, isu membabitkan Mahkamah Syariah terutama dalam mengendalikan kes tertunggak perlu segera diatasi.

Wakil Melaka, Zaleha Bujang, pula mengingatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam seperti Sisters In Islam (SIS) supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berhubung hal ehwal agama Islam.

“Kita minta mereka merujuk kepada pakar agama kerana isu yang dibangkitkan perlu diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan. Sebaliknya, apa yang berlaku awal tahun lalu SIS buat bantahan dan kemukakan memorandum kepada kerajaan.

"Ia bertindak lebih radikal meminta kerajaan membubarkan undang-undang yang boleh menghalang rakyat menikmati kebebasan peribadi," katanya ketika mencadangkan usul agama dan sosial pada Perhimpunan Agung Wanita.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768