Wanita mahu tambah suara peringkat pusat

Syor perlembagaan dipinda bagi jayakan pembangunan negara

KUALA LUMPUR: WANITA Umno mencadangkan perlembagaan parti dipinda bagi meningkatkan penyertaan wakil pergerakan itu di peringkat bahagian dan pusat dalam usahanya membantu menjayakan pembangunan dan kemajuan wanita di negara ini.

Cadangan itu dikemukakan kebanyakan perwakilan pada perbahasan ucapan dasar ketua pergerakan itu.

Wakil Terengganu, Rohani Abdullah yang juga Ketua Wanita Kemaman, berkata fasal 12 (3.7) perlu dipinda bagi membolehkan ahli jawatankuasa peringkat bahagian ditambah daripada 15 kepada 20 orang selaras peranan wanita peringkat akar umbi.

"Lebih ramai wakil wanita di bahagian membolehkan mereka merancang pelbagai usaha untuk pembangunan wanita di kampung dan luar bandar dalam semua bidang," katanya mendapat reaksi positif perwakilan yang menyorak tanda menyokong cadangan berkenaan.

Wakil Perlis yang juga Ketua Wanita Padang Besar, Siti Berene Yahya turut mencadangkan pindaan fasal 5 (1.7) bagi membolehkan bilangan ahli jawatankuasa wanita peringkat pusat ditambah daripada 20 kepada 30.

Beliau berkata, pindaan itu bertujuan menambah suara wanita dalam pentadbiran parti di peringkat pucuk pimpinan.

"Ia juga selaras peningkatan tahap profesionalisme wanita, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan sumbangan kepada negara," katanya.

Wakil Melaka, Latifah Omar yang juga Ketua Wanita Masjid Tanah pula mahu ketua wanita cawangan dilantik secara automatik menjadi perwakilan mesyuarat bahagian supaya dapat memainkan peranan lebih berkesan di peringkat bahagian.

"Ini kerana wanita peringkat cawangan tidak berpeluang memainkan peranan secara lebih penting di peringkat bahagian walaupun diakui wanita sering menjadi pelengkap pelbagai aktiviti parti.

"Malah, ketua cawangan sendiri terpaksa bertanding dengan perwakilan lain untuk ke peringkat bahagian," katanya.

Wakil Kedah, Sharifah Maznah Syed Kassim yang juga Ketua Wanita Alor Star, membangkitan isu kuota 30 peratus wanita dalam pentadbiran kerajaan, isu sosial dan ekonomi serta langkah membendung gejala sosial, terutama penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, sejajar dengan keahlian yang melebihi lebih 1.3 juta dan penyumbang besar pengundi dalam pilihan raya umum, wanita berpendapat pucuk pimpinan parti wajar memberi lebih pengiktirafan dan perhatian kepada wanita.


Usul wanita Umno


  • MENYOKONG penuh segala usaha dan tindakan pemimpin negara dan ketua kerajaan melaksanakan dasar untuk mencapai matlamat Agenda Melayu.

  • BERDIRI teguh bersama Presiden parti dalam menghadapi segala isu dan penyelesaian masalah.

  • MEMBERI komitmen sepenuhnya untuk berkhidmat pada setiap peringkat bagi mencapai Agenda Melayu dan Misi Negara.

  • MENERUSKAN segala usaha bagi memastikan kemenangan besar Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.


Usul Ekonomi, Pendidikan


  • MENYOKONG penuh usaha Perdana Menteri dan kerajaan untuk melaksanakan RMK-9 bagi mencapai Wawasan 2020.

  • BERAZAM membantu parti dan kerajaan dalam pelaksanaan RMK-9.

  • MENGGESA kerajaan menggubal strategi dan rancangan bagi mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan baru, khususnya bagi meningkatkan keupayaan wanita mencapai pengagihan ekonomi seimbang.

  • MENDESAK kerajaan mengiktiraf kemampuan dan kebolehan wanita menerajui syarikat dan agensi kerajaan atau yang berkaitan kerajaan.

  • MENGGESA kerajaan meningkatkan usaha pembangunan modal insan bagi membasmi rasuah.

  • MENGGESA kerajaan membantu pembangunan usahawan wanita Bumiputera dengan menyediakan prasarana ekonomi serta mekanisme sokongan bersesuaian.

  • MENYOKONG usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan penekanan kepada pembangunan insan dari peringkat bayi seperti Program Permata Negara.


Usul Agama dan Sosial


  • MENGGESA kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), memperhebatkan tindakan proaktif menggerakkan ummah menghayati dan menyemarakkan pendekatan Islam Hadhari melalui satu mekanisme membabitkan wanita.

  • MENYOKONG tindakan kerajaan menolak sebarang usaha yang boleh menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

  • MENGGESA badan dakwah dan NGO Wanita Islam mengambil tindakan agresif dan proaktif meningkatkan kefahaman, penghayatan dan amalan Islam supaya generasi muda tidak terjebak dalam masalah sosial.

  • MENYEGERAKAN penambahbaikan undang-undang Keluarga Islam serta penyusunan semula Mahkamah Syariah supaya kelemahan yang wujud dapat diperbaiki ke arah pelaksanaan dan pentadbiran yang lebih adil, cekap dan berkesan.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768