Analisis: Rafidah, Shahrizat gandingan mantap

GEMA gemuruh tepukan perwakilan putih merah mengakhiri Perhimpunan Perwakilan Wanita Umno di Dewan Merdeka lewat petang semalam, sejurus selepas Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz, tamat menggulung perbahasan.

Tidak cukup dengan itu, ramai yang berebut mengadakan sesi bergambar dengan Rafidah dan tidak kurang menghulur tangan dan mengucapkan "memang gandingan mantap Datuk Seri" sehingga keadaan menjadi riuh rendah.

Gandingan mantap yang dimaksudkan itu ialah Rafidah dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Perwakilan yang berucap memberi sokongan padu kepada kepemimpinan saya dan Shahrizat dan menganggap kami sebagai gandingan mantap. Jangan gandingan mantan dah lah... kalau mantan (bekas) maknanya dua-dua outlah," katanya.

Senario yang berlaku selepas perhimpunan yang berakhir pada jam 6.40 petang itu amat bertepatan dengan tema ucapan Rafidah sendiri pada awal perhimpunan "Bersatu Teguh, Bercerai Roboh" dengan isu perpaduan menjadi inti patinya.

Sokongan padu itu juga susulan kelantangan Rafidah mempertahankan suara Wanita ketika menggulung perbahasan, di sebalik ulasan ‘hambar’ wakil Majlis Tertinggi, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut menyelitkan kritikan, di sebalik pujian terhadap Wanita.

Bagi Adnan, Perhimpunan Perwakilan Wanita berjalan lancar dengan perwakilan berbahas mengikut adab dan tertib, tetapi banyak isu besar dan agenda Melayu tidak disentuh, sebaliknya terlalu ramai menyentuh isu sama - pindaan perlembagaan supaya suara wanita lebih didengari.

"Adnan kata ada isu yang harus kita bangkitkan. Sebenarnya, isu itu kita selalu bangkitkan tetapi isu macam pindaan perlembagaan dah berbuih mulut kita bangkitkan.

"Isu ekonomi, kewangan bila-bila masa boleh bincang tapi isu pindaan perlembagaan di sinilah tempatnya... kalau tidak, takda orang dengar," katanya.

Bagi Rafidah tidak timbul isu ahli pergerakan tidak pandai bercakap, sebaliknya ada perkara atau isu yang mahu dibawa dalam sesi perbahasan bagi mengelak tertinggal.

Beliau berkata, dasar pergerakan ialah mengetengahkan pembahas baru dari seluruh bahagian yang boleh berucap dan menyampaikan mesej pada perhimpunan agung.

"Percayalah yang penting ialah isinya, apa dikatakan... sungguhpun nada perlahan, ketakutan tapi kalau isi itu adalah perkara yang kita boleh ambil perhatian maka itulah yang penting. Kalau bercakap berapi-api kosong buat apa," katanya.

Perhimpunan Perwakilan Wanita Umno semalam tidak sekadar menepati matlamat yang ditetapkan dari segi isu yang diperjuangkan, tetapi menyaksikan perpaduan jitu sayap paling senior yang mempunyai 1.3 juta ahli.

Ini sekali gus menepis sama sekali suara sumbang kononnya 'sudah berlaku perpecahan' dalam pergerakan berkenaan ketika pemilihan parti sudah berbaki kira-kira setahun saja lagi.

"Dalam hujah, semua pembahas mementingkan perpaduan dan saya amat gembira. Tanpa perpaduan kita tak boleh menang pilihan raya, tanpa perpaduan Umno dan Barisan Nasional (BN) tak boleh kuat, tanpa perpaduan semua yang dirancang seperti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sukar mencapai matlamatnya," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768