Perubahan dalaman realisasi hasrat 30 peratus penyertaan
WANITA Umno mahu pucuk pimpinan parti membuat perubahan dalaman di peringkat parti terlebih dulu bagi merealisasikan matlamat 30 peratus penyertaan wanita dalam bidang pentadbiran kerajaan.
Wakil Selangor, Dr Rozaidah Talib yang membawa usul ucapan dasar ucapan Ketua Wanita berkata sasaran meningkatkan pembabitan wanita dalam pelbagai bidang perlu dimulakan dalam Umno terlebih dulu sebelum dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan.
"Selama ini cukup disedari wanita menjadi penyelamat pada mesyuarat cawangan dan bahagian... Jika tidak hadir, tidak cukup korum.
"Ini diakui sendiri dan disebabkan itulah sasaran (meningkatkan pencapaian wanita) perlu dimulakan dari dalam parti," katanya.
Pada permulaan ucapannya, Dr Rozaidah mengajak perwakilan bangun dan berikrar bagi menunjukkan tanda kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau kemudian mengetuai ikrar;
l bahawa kami akan tetap setia menyokong penuh presiden parti,
l menjadi benteng kepada apa jua ancaman terhadap pemimpin parti dan kerajaan,
l menjaga supaya Pergerakan Wanita Umno dan Umno sentiasa kukuh berwibawa dan berkesan dalam membela nasib rakyat khususnya orang Melayu, dan
l membantu pucuk pimpinan dan kerajaan menentukan segala matlamat dasar dan program parti menjadi kenyataan.
Beliau kemudian meneruskan ucapan dengan memberi jaminan Wanita akan menyokong Misi Nasional yang digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana yakin ia akan membawa perubahan kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan negara yang adil dan saksama bagi menghadapi arus perdana cabaran globalisasi.
Sementara itu, ketika membentangkan usul ekonomi dan pendidikan, wakil Perak, Dr Azizah Johor, berkata perlu ada usaha berganding bahu secara strategik di antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan pakar dalam pelbagai bidang pendidikan dan ekonomi untuk mengukuhkan jentera, struktur dan instrumen pelaksanaan dasar serta perancangan negara terutama untuk memanfaatkan golongan wanita.
Menyokong usul ekonomi dan pendidikan, wakil Wilayah Persekutuan, Salmah Pin, pula berkata kerajaan perlu menggubal strategi dan rancangan yang mampu peluang perniagaan dan pekerjaan baru, khususnya untuk meningkatkan bina upaya wanita dalam usaha mencapai pengagihan ekonomi seimbang.
Wakil Kedah, Khalijah Arshad yang membawa usul agama dan sosial, menggesa kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memperhebatkan tindakan proaktif menggerakkan ummah untuk menghayati dan menyemarakkan pendekatan Islam Hadhari melalui satu mekanisme membabitkan wanita.
"Kerajaan juga perlu segera menambah baik Undang-Undang Keluarga Islam serta penyusunan semula Mahkamah Syariah supaya kelemahan dapat diperbaiki ke arah pelaksanaan dan pentadbiran yang lebih adil, cekap dan berkesan," katanya.
Katanya, dasar ekonomi yang dirangka kerajaan dirumus berasaskan visi bagi memastikan rancangan yang diatur berhasil seperti yang dikehendaki.
"Sesungguhnya, visi tanpa tindakan adalah satu mimpi, sementara tindakan tanpa visi hanya membuang masa," katanya.
Bagi meningkatkan penguasaan dan penyertaan orang Melayu dalam sektor perniagaan dan ekonomi, beliau berkata, usaha perlu diambil bagi merealisasikan konsep `satu keluarga, satu usahawan'.
|