Wanita tumpu agenda sosial

Pelbagai gejala melanda masyarakat hari ini perlu diberi perhatian serius

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno, mahu supaya agenda sosial membabitkan bangsa Melayu mendapat perhatian perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini, di samping menghangatkan perbahasan selain isu politik dan ekonomi.

Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, saranan itu dibuat kerana agenda politik dan ekonomi sering menjadi tumpuan perwakilan dalam setiap perhimpunan sebelum ini.

“Agenda sosial jarang dibincangkan walaupun ia sebenarnya membabitkan perkara asas. Jika kita hanya pentingkan ekonomi dan politik, saja akan tempanglah agenda orang Melayu.

“Contohnya kefahaman disarankan seperti Islam Hadhari sebagai panduan supaya anak Melayu lebih faham mengenai agama supaya mereka tidak menjadi pelampau atau pengganas.

“Masalah sosial sering dikaitkan dengan orang Melayu misalnya dadah, bohsia, mat rempit, sumbang mahram, lepak, HIV. Ini semua agenda sosial, tetapi jarang diperkatakan dalam perhimpunan.

“Sedangkan, ia perlu ditangani segera oleh orang Melayu, oleh Umno,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas persediaan Wanita Umno, di sini semalam, menjelang Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno, hari ini.

Justeru Rafidah berkata, pada perhimpunan hari ini, masalah sosial membelenggu orang Melayu akan menjadi antara fokus utama yang dibangkitkan Pergerakan Wanita Umno.

Beliau berkata, pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini perlu diberi perhatian serius oleh Umno kerana ia banyak membabitkan orang Melayu.

Beliau berkata, Wanita Umno akan mengaitkan masalah sosial dihadapi masyarakat Melayu itu dengan ajaran Islam seperti membentuk anak Melayu yang benar-benar faham mengenai asas agama serta perkara yang dilarang.

Selain usul agama dan sosial katanya, Wanita juga akan membahaskan usul menyokong ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita Umno, serta usul ekonomi dan pendidikan.

Bagi usul ekonomi dan pendidikan, Wanita Umno akan memfokuskan kepada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan dasar yang boleh meningkatkan lagi prestasi negara serta wanita dalam bidang ekonomi.

Rafidah berkata, wakil pergerakan itu juga sudah diminta memberikan fokus kepada perkara utama iaitu pembangunan, bukan saja ekonomi tetapi juga pembangunan secara keseluruhannya termasuk pembangunan modal insan, serta melahirkan masyarakat Melayu kelas pertama.

“Ucapan (dasar) saya akan turut menyentuh perkara ini. Kalau kita tumpu kepada pembangunan dalam erti kata pembangunan menyeluruh negara, banyak yang boleh dihujah dan diutarakan sebagai cadangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan perwakilan supaya tidak menyentuh isu sensitiviti agama, perkauman dan peribadi serta perkara lucah.

“Bila kita nak hujahkan sesuatu mestilah ada faktanya. Janganlah kita berhujah berdasarkan kepada khabar angin dalam apa juga isu. Jadi, saya minta supaya mereka benar mengetahui asas segala hujah yang dibangkitkan,” katanya.

Ditanya sama ada isu membabitkan kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan akan turut disentuh, Rafidah berkata, itu terpulang kepada perwakilan.

“Saya percaya mereka akan bangkitkan kerana ini isu semasa membabitkan mereka, parti dan pemimpin. Jadi terserahlah kepada kebijaksanaan perwakilan, kerana kita tak boleh nak tahan,” katanya.

Seramai 758 perwakilan akan menghadiri perhimpunan Wanita Umno hari ini dengan tiga Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Adnan Yaakob; Datuk Abdul Rahman Bakar dan Datuk Shafiee Apdal, selain 33 Exco.

Katanya, enam bahagian cuma menghantar tiga perwakilan iaitu Merbok, Tanjung Karang, Pokok Sena, Pasir Salak, Taiping dan Padang serai kerana Ketua dan Naib Ketuanya bermasalah serta tidak dapat hadir.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768