Bank Wanita tetap agenda utama
WANITA tak ligat tetapi liat, lebih berbahaya, dilambung tak pecah, terhempas melantun. Putih merah lebih ligat daripada ligat.
Mukadimah Pengerusi Tetap Persidangan Perwakilan Wanita Umno, Datuk Napsiah Omar, ketika membuka bicara memulakan persidangan berkenaan Rabu lalu diterjemahkan oleh Ketua Pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Sepanjang sehari persidangan perwakilan wanita Rabu lalu, beliau tenang dan ceria, walaupun sebak sehingga menangis sehari sebelumnya apabila media menyentuh mengenai hubungannya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ekoran isu permit import (AP).
Sehingga semalam, riak wajah Rafidah ceria, biarpun terus dihujani persoalan mengenai AP bukan saja oleh media, malah oleh perwakilan di Persidangan Perwakilan Pemuda dan ketika Perhimpunan Agung Umno sejak kelmarin.
Apa yang pasti, Wanita Umno pada perhimpunan kali ini fokus kepada usul yang dibawanya untuk membangunkan sosioekonomi wanita di negara ini, khususnya Bumiputera.
Wanita Umno berhasrat melihat usaha yang lebih bersungguh-sungguh daripada setiap peringkat bagi memastikan usaha memajukan wanita Melayu dalam semua bidang mencapai kejayaan, khususnya dalam bidang pertanian moden.
Penerokaan bidang bioteknologi oleh kerajaan misalnya, dilihat oleh Wanita Umno sebagai satu langkah wajar yang perlu disambut rakyat, khususnya di kalangan wanita.
Dalam bidang agrotani, harapan pergerakan itu ialah wanita dapat digerak sepenuhnya, kemahiran dan kebolehan wanita dalam bidang kraftangan dan perusahaan makanan ringan pula harus dieksploitasi sepenuhnya.
Justeru, bagi wanita masalah modal perlu diberi perhatian serius dan kekangan birokrasi perlu dikurangkan ke tahap minimum.
Wanita Umno mahu agensi terbabit memastikan sekurang-kurangnya 40 peratus penerima pinjaman mereka adalah daripada kalangan wanita.
Oleh itu hampir setiap perwakilan Wanita yang mengambil bahagian ketika perbahasan sama ada pada Persidangan Perwakilan Wanita atau sepanjang dua hari perhimpunan agung, mengimpikan cadangan pergerakan itu supaya Bank Wanita diwujudkan, menjadi realiti dan mendesak 40 peratus pinjaman yang diperuntukkan kepada Bank Industri Kecil dan Sederhana diberikan kepada wanita.
Dalam kelajuan melaksanakan langkah pengukuhan untuk membantu Bumiputera di era ‘dasar ekonomi baru’ juga, Wanita Umno mendesak seramai mungkin wanita dibantu.
Wanita Umno mengajak wanita Melayu di seluruh negara bangkit pada era globalisasi dan berusaha merebut peluang yang ada supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.
Turut dibangkitkan wakil Wanita Umno di perhimpunan agung kali ini ialah ‘hampir tiada’ wanita menjawat jawatan Ketua Setiausaha di kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah, Yang Dipertua dan Timbalan Kaunselor.
Justeru, jika ada wanita yang sudah sampai ke tahap kekananan, mereka mahu supaya diberikan tempat sewajarnya.
Perwakilan Wanita, baik 17 wakil yang bangun berucap pada persidangan perwakilan pergerakan itu atau mereka yang bangun berucap pada Perhimpunan Agung Umno sehingga semalam, langsung tidak menyentuh isu AP yang dikaitkan dengan ketua mereka.
Ramai yang tertanya-tanya mengapa tidak seorangpun perwakilan Wanita yang bangun membahaskan usul menyentuh isu AP, namun hakikatnya ia adalah manifestasi sokongan padu ahli Wanita kepada kepemimpinannya.
Rafidah juga dikatakan sudah bersedia untuk mendedahkan segala-galanya berhubung isu AP apabila menggulung perbahasan hari ini dan ramai yang ternanti-nanti penjelasan beliau.
Apapun, memang tidak dapat dinafikan kepentingan peranan Wanita Umno selaku tulang belakang parti.
“Jangan kata Wanita Umno hanya pandai buat kuih loyang, gubah bunga. Jangan kata Wanita Umno asyik masak, gulung tuala. Jika tidak ada kita (Wanita), gulung tikarlah Umno”.
Demikian pedasnya ungkapan yang diluahkan Rafidah ketika menyampai ucapan dasar di persidangan perwakilan pergerakan itu, Rabu lalu.
Dengan 1.4 juta daripada 3.2 juta ahli Umno adalah dari kalangan Wanita, luahan rasa Rafidah bukan sekadar ‘omong kosong’, sebaliknya satu hakikat kerana wanita sememangnya cukup penting menggerak jentera parti turun ke akar — umbi dan bergegas dari rumah ke rumah.
Di situlah kata Rafidah — ketika membuat kuih loyang, menggubah bunga, gulung tuala, menjalankan pelbagai aktivitinya — wanita berjaya menambat hati masyarakat kerana pergerakan paling kanan dalam parti itu berjuang bukan kerana politik semata-mata, tetapi kerana lima cabang - sosial, ekonomi, agama, politik dan kebudayaan.
Ibarat resmi padi ‘diam-diam berisi’, Wanita Umno terus menjalankan pelbagai aktiviti di semua peringkat bagi merapatkan Umno dengan masyarakat.
Rafidah lantang menyuarakan betapa suara Wanita belum cukup didengar secara rasmi dalam parti dan mendesak perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan ketua cawangan dilantik secara automatik ke mesyuarat perwakilan bahagian.
Dalam ucapan penggulungannya, Rafidah bagaimanapun menyatakan beliau berpuas hati dengan mutu perbahasan kerana semua perwakilan serius dan fokus kepada topik perbahasan.
Paling menarik, pastinya keputusan Wanita Umno menubuhkan kumpulan pemikir untuk memantau dasar wanita dan menterjemahkannya menjadi tindakan menerusi input kepada kerajaan demi pembangunan wanita dan negara.
|