Birokrasi, kurang modal jejas kemajuan Melayu
Bantuan yang banyak disediakan pelbagai agensi perlu disegerakan
KEKANGAN birokrasi perlu dikurangkan ke tahap paling minimum dan masalah modal perlu diberi perhatian serius dalam usaha memajukan orang Melayu.
Exco Pergerakan Wanita, Datuk Norhayati Omar, berkata bantuan modal yang kini banyak disediakan pelbagai agensi perlu digerakkan supaya lebih tersusun dan kemas.
Wanita, katanya, berhasrat melihat usaha lebih bersungguh-sungguh dari setiap peringkat bagi memastikan usaha memajukan orang Melayu dalam semua bidang mencapai kejayaan, khususnya dalam bidang pertanian moden.
"Penerokaan bidang bioteknologi oleh kerajaan misalnya satu langkah wajar yang perlu disambut rakyat jelata.
"Kita perlu mengembalikan kegemilangan sektor pertanian," katanya berucap menyokong Usul Ucapan Dasar Presiden.
Dalam bidang agrotani, Norhayati berharap Wanita dapat digerakkan sepenuhnya dan kemahiran wanita dalam bidang kraf tangan dan perusahaan makanan ringan dieksploitasi sepenuhnya.
Pada masa masa, Wanita Umno mendesak agensi kewangan terbabit memastikan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada penerima pinjaman mereka wanita.
"Kami akan terus mengimpikan Bank Wanita menjadi realiti satu masa nanti. Wanita adalah jenis yang tidak liat bayar hutang," katanya.
Beliau berkata, perancangan strategik membabitkan semua aspek pengeluaran dan penjualan juga perlu dilakukan, dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus membabitkan diri menjadi pembimbing serta rakan niaga strategik kepada peniaga Bumiputera.
Norhayati berkata, GLC perlu menjadi pelengkap dan pendorong kepada pelaksanaan dasar kerajaan kerana ia adalah cara paling sesuai untuk membayar balik kepada masyarakat.
"Kita mahu mereka membantu meneroka pasaran kepada produk industri kecil kita. Keupayaan modal manusia, kepakaran dan wang yang ada pada GLC ini boleh digunakan bagi menentukan pulangan kembali modal yang sudah dikeluarkan.
"Justeru, ia akan memberi keuntungan kepada semua pihak baik masyarakat kampung, GLC itu sendiri dan bangsa," katanya.
Mekanisme bagi memastikan petani kita mendapat faedah sepenuhnya daripada penemuan bidang bioteknologi perlu disusun.”
|