Rafidah, AP kerap disebut:
Ketua Wanita guna pintu khas di Dewan Merdeka elak wartawan


DATUK Seri Rafidah Aziz mungkin paling popular pada Perhimpunan Agung Umno kali ini apabila namanya sering disebut bukan saja di kalangan perwakilan, malah pemerhati di luar Dewan Merdeka kerana dikaitkan dengan isu permit import (AP) kereta.

Ketua Pergerakan Wanita Umno itu bagaimanapun seolah-olah mengelak daripada ditemui wakil media dari pagi hingga ke petang dan menggunakan pintu khas untuk keluar masuk ke dewan tempat berlangsungnya perhimpunan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu hanya dapat ditemui selepas wartawan menunggu di tepi tangga pentas dalam Dewan Merdeka, sebaik persidangan ditangguhkan, kira-kira jam 6.40 petang.

Beliau yang mengulas mengenai ucapan dasar Presiden bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai tindakan beberapa perwakilan yang menyebut namanya atau isu AP dalam sesi perbahasan usul ucapan dasar Presiden.

“Kena sedar kita tidak boleh buat tuntutan berterusan kepada kerajaan. Kalau tak boleh tunai, kena faham,” katanya sambil menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan dasar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu pemberian permit, kontrak dan lesen.

Semalam, suara perwakilan yang melaungkan perkataan paling popular ‘AP’ mula kedengaran ketika Presiden parti menyentuh isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pemberian permit, kontrak serta lesen dalam ucapan dasarnya.

Pihak media yang menunggu di luar dewan untuk mendapatkan reaksi semua pemimpin berhubung ucapan dasar Presiden parti, gagal mendapatkan Rafidah ketika persidangan ditangguhkan untuk makan tengah hari kira-kira jam 1.30 petang.

Ketika itu, Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menarik tangan Rafidah ketika ketuanya itu mahu keluar menggunakan pintu utama berikutan ramai wartawan menunggu di luar.

Kedua-duanya kemudian menggunakan pintu khas di belakang yang juga kawasan larangan bagi wakil media.

Rafidah juga dikatakan mengadakan pertemuan singkat dengan beberapa Exco kanannya sebelum masuk semula menggunakan pintu khas itu, kira-kira jam 2.30 petang.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768