Jawatan tidak boleh dijual beli
KETUA Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz mengingatkan mengenai pentingnya budaya politik wang yang sudah meresap dalam parti dibendung bagi mengelak rakyat mempersoalkan integriti dan kewibawaan Umno.
Beliau berkata, rakyat menyokong Umno kerana ia sebuah parti yang berwibawa dan boleh dipertanggungjawabkan serta mempunyai pemimpin bermaruah dan berintegriti.
“Umno mesti mempertahankan imej dan nama baik ini. Jawatan dan pengaruh tidak boleh dijual beli. Rasuah dalam apa bentuk pun dan dalam apa bidang sekalipun adalah perkara jijik dan haram.
“Umno dan ahli Umno tidak boleh membenarkannya dan merosakkan apa yang sudah dipupuk dan dibina selama ini,” katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu.
Mengenai kepimpinan, Rafidah berkata, ia bukan semata-mata memegang jawatan, tetapi lebih penting mencerminkan keupayaan untuk mempengaruhi ke arah yang betul serta membimbing keluarga dan masyarakat serta menerap nilai positif.
Beliau juga menekankan perlunya wanita Umno mengenal pasti segera isu baru yang harus ditangani bersama, sama ada melalui ceramah penerangan atau program khas.
Sementara itu dalam ucapan penggulungannya, Rafidah mengumumkan Wanita Umno akan menubuhkan segera kumpulan pemikir diwakili 15 wanita profesional.
Ia akan menjadi pemantau dasar wanita untuk diterjemahkan kepada tindakan, selain memberi input kepada kerajaan demi kepentingan wanita serta pembangunan negara.
Beliau juga menekankan pentingnya bina upaya diri dalam wanita bagi mencari kecemerlangan ilmu dan meningkatkan keupayaan serta cara pemikiran.
“Kita tak payah nak kritik lelaki tak adil saja. Ada kalanya salah kita kerana nak minta kuota 30 peratus sebagai pembuat dasar, tetapi jumlah yang layak tidak dapat memenuhi kuota itu.
“Kita nak wanita lebih berkesan. Semai perasaan majukan diri. Ini kerana kerajaan tidak menyekat peluang, sebaliknya diri kita yang menyekat diri untuk maju,” katanya.
Rafidah juga mencadangkan supaya pangkalan data mengenai wanita profesional dan usahawan dibangunkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
|