Wanita, Puteri canggah pendapat
PEMIMPIN Wanita dan Puteri bercanggah pendapat sama ada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, perlu memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu permit import (AP).
Sementara beberapa pemimpin Wanita berpendapat Rafidah tidak perlu meminta maaf kepada Dr Mahathir, pemimpin Puteri juga berpandangan beliau patut berbuat demikian.
Penolong Setiausaha Puteri, Bibi Sharliza Mohd Khalid, berkata Rafidah perlu memohon maaf kepada Dr Mahathir yang telah banyak menabur bakti kepada Umno dan negara ini.
“Saya rasa wajar untuk dia (Rafidah) minta maaf kerana bagi saya walaupun Tun (Dr Mahathir) tidak lagi bersama kita dalam parti atau dalam kerajaan tetapi beliau adalah orang yang kita tidak sepatutnya lupakan kerana perjuangan dan sumbangannya,” katanya.
Bibi Sharliza berkata, Rafidah perlu menyatakan kepada umum pendiriannya jika beliau berasa tidak perlu memohon maaf kerana tindakannya itu bukan bermaksud menyinggung perasaan Dr Mahathir.
Penolong Bendahari pergerakan itu, Suraya Yaacob, juga sependapat dengan Bibi Sharliza dan mahu ia diselesaikan melalui perjumpaan peribadi antara Rafidah dan Dr Mahathir dan bukan hanya melalui surat menceritakan proses pemberian AP.
“Surat itu macam formal (saja), macam surat kerajaan...kena ada caralah. Macam kita layan bapa kitalah,” kata Suraya.
Beberapa perwakilan Wanita Umno pula berpendapat Rafidah tidak perlu memohon maaf dan harus diselesaikan antara Rafidah dan Dr Mahathir kerana ia terlalu peribadi memandangkan hubungan mereka berdua yang rapat.
Seorang perwakilan dari Pahang yang enggan namanya disiarkan berkata, Rafidah tidak membuat kesilapan tetapi jawapannya berhubung isu AP, yang dianggap oleh sesetengah pihak menyinggung perasaan Dr Mahathir.
|