Desak pinda perlembagaan

WANITA Umno tidak akan berhenti mendesak supaya perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan ketua cawangan dipilih secara automatik sebagai wakil ke mesyuarat perwakilan bahagian, kata Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, suara wanita masih kurang diiktiraf dari segi struktur rasmi dalam parti, walaupun mereka mewakili 1.4 juta daripada 3.2 juta ahli Umno.

Pada sidang medianya, beliau berkata, Wanita akan mendesak supaya Perlembagaan Umno fasal 14.3.3, 14.4.4 dan Peraturan Pergerakan Wanita Umno fasal 14.3.3, dipinda supaya ada wakil tetap daripada Wanita pada peringkat cawangan ke mesyuarat bahagian.

Rafidah berkata, ramai wanita pada peringkat akar umbi tidak terdorong untuk berebut jawatan dalam Umno dan menganggap mereka masih dapat berkhidmat dengan berkesan sebagai pemegang jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno.

Pada tahun pemilihan, pula katanya, Wanita kerap kali mengalah dan memberi laluan kepada ahli lelaki dengan memilih wakil cawangan ke mesyuarat tahunan bahagian.

"Walhal, kalau tidak kerana kehadiran ahli Wanita dalam mesyuarat cawangan, mesyuarat berkenaan kemungkinan besar tidak akan cukup korum,"

Sementara itu, perwakilan Wanita Umno Bahagian Batu membangkitkan soal cawangan 'bunian' yang hanya berminat memegang jawatan dalam parti menjelang perhimpunan agung Umno.

Beliau berkata, ada cawangan tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh empat tahun tetapi apabila tiba musim pemilihan, masing-masing akan menampilkan diri untuk menentang pemimpin sedia ada.

Sehubungan itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Batu, Maimunah Alwi mahu pemimpin tertinggi Wanita Umno mengawasi kewujudan cawangan 'bunian' kerana kebanyakan ahlinya menunjukkan sikap bertentangan dengan pimpinan bahagian sedia ada.

"Kita mahu Wanita Umno segera mengemas kini data pada peringkat cawangan untuk membanteras cawangan 'bunian' ini," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita.

Maimunah juga menyatakan penghargaan kepada Lembaga Disiplin Umno kerana menjalankan tugas dengan baik.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pemimpin Umno yang terlepas daripada tindakan Lembaga Disiplin bahawa mereka tidak dapat lari daripada balasan di akhirat.

Perwakilan Wanita Umno Selangor, Mona Liza Hamzah mahu Lembaga Disiplin menyiasat segera pemimpin tertinggi dalam parti yang terbabit dengan politik wang.

Beliau yang juga Ketua Wanita Bahagian Petaling Jaya Selatan, mahu berkata lagi tinggi kedudukan pemimpin itu dalam parti, sepatutnya siasatan perlu disegerakan kerana pergerakan itu mahu ahlinya mengambil iktibar daripada peristiwa terbabit.

"Wanita insaf dengan rasuah politik kerana pemimpin yang mengamalkannya sanggup berkorban harta demi membeli undi dan bukannya benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768