Kelantan janji perhebat usaha
WANITA Umno Kelantan berjanji terus bekerja kuat bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menguasai Kelantan.
Wakilnya, Fauziah Mohamad, berkata semangat itu ditunjukkan Wanita Umno Kelantan pada pilihan raya umum 2004 dan akan diteruskan malah diperhebatkan lagi.
Pada pilihan raya umum itu, BN tewas tipis kepada Pas dengan memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas menang 24 kerusi.
“Wanita Umno negeri lain sudah dalam keadaan selesa tetapi kami dalam keadaan terpinggir. Jadi kami perlu benar-benar menyingsing lengan untuk bekerja. Kami di Kelantan perlu bekerja keras kerana berhadapan dengan Pas. Pas di negeri lain tidak seperti di Kelantan yang begitu mencabar,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Ketua Wani Umno.
Fauziah turut menyatakan kebimbangannya mengenai peningkatan mendadak gejala sosial di Kelantan dan menuding punca terhadap kejumudan kerajaan Pas terutama masalah penyalahgunaan dadah dengan statistik pada 2003 menunjukkan tujuh penagih dadah baru direkodkan setiap hari.
Selain itu beliau juga menyarankan setiap Ketua Wanita bahagian diperuntukkan sejumlah wang untuk memudahkan pelaksanaan sebarang kegiatan pada peringkat bahagian.
Fauziah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Ketereh berkata, cadangan itu wajar kerana bebanan dirasakan setiap kali merancang untuk menjalankan program tertentu untuk manfaat ahli.
“Walaupun menduduki kerusi Ketua Wanita bahagian, sebenarnya tidak mempunyai kuasa dari segi kewangan.
“Setiap kali hendak menjalankan program, Ketua Wanita bahagian perlu meraih simpati untuk mendapatkan sumbangan pelbagai pihak,” katanya.
FAKTA
Tujuh penagih dadah baru setiap hari di Kelantan
Enam daripada 10 rumah di Kelantan mempunyai anak penagih dadah
Lebih 17,000 penagih di Kelantan
|