Sepanggar cadang tubuh Bank Wanita
WANITA Umno Bahagian Sepanggar mencadangkan kerajaan mewujudkan Bank Wanita untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi golongan itu.
Ketuanya, Jainab Ahmad, berkata jika cadangan itu tidak sesuai, pihaknya mengesyorkan Bank Industri Kecil dan Sederhana (Bank IKS) mengkhususkan 40 peratus pinjaman kepada wanita.
Katanya, satu pusat sehenti untuk memberi khidmat nasihat kepada usahawan wanita juga wajar diwujudkan bagi membina sistem jaringan yang membolehkan mereka berhubung.
“Sabah berpendapat wanita perlu diberi akses kepada pelbagai maklumat berkaitan usaha pembangunan terutama kemudahan perniagaan seperti menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) atau agensi kerajaan dan swasta.
“Sehubungan itu, kursus perlu diperanyakkan mengikut bidang ekonomi yang diminati dan berdasarkan kemampuan mereka terutama di luar bandar,” katanya ketika membahas usul sosio ekonomi Wanita Umno.
Jainab berkata, Sabah juga menggesa kerajaan memperluaskan jentera pembangunan wanita ke daerah menerusi agensi yang diwujudkan kerajaan pada peringkat berkenaan.
Katanya, kerajaan juga perlu melakukan pemantauan menyeluruh dan mengkaji semula dasar, program serta penyaluran dana bagi memajukan ekonomi wanita.
Ketika ini, katanya, penyaluran dana amat terhad kerana ia terbuka untuk kedua-dua golongan lelaki dan wanita.
Pantun
"Taman indah dipenuhi bunga,
Bunga mawar pelbagai warna,
Wanita Sabah membahas
usul dengan bangganya,
Sosio ekonomi menjana aset negara"
"Pergi memikat burung kedidi,
Terpikat pula si burung nuri,
Wakil Sabah mengundur diri,
Moga tahun depan berjumpa lagi"
Ketua Wanita Umno Bahagian Sepanggar, Jainab Ahmad ketika membahaskan usul ucapan dasar Ketua Wanita.
FAKTA NOMBOR
35,315
Rumah setinggan yang didiami 160,073 penduduk di Sabah
2,750
Penagih dadah
|