Pengiktirafan masih rendah
WALAUPUN peruntukan 30 peratus ditetapkan kepada wanita sebagai pembuat dasar, realitinya kadar pengiktirafan terhadap kaum hawa masih pada tahap rendah.
Berikutan itu, Ketua Penerangan Wanita Umno Pulau Pinang, Siti Faridah Arshad, menggesa supaya matlamat itu segera dijadikan kenyataan dan bukan sekadar ‘omong kosong’.
Malah, katanya, statistik pada 2003 menunjukkan, wanita masih tidak diberi kepercayaan menduduki kerusi Naib Canselor, sebaliknya 17 jawatan sedia ada diisi lelaki.
“Jika diteliti, faktor seperti status pendidikan, pengalaman dan dikenali berikutan keupayaan memimpin sudah cukup melayakkan memegang jawatan itu.
“Malangnya, kenapa hingga kini sumbangan menerusi tugas yang cemerlang masih gagal menghasilkan sesuatu yang membanggakan, sebaliknya disisihkan.
Sementara itu, Ketua Wanita Bahagian Ayer Hitam, Johor, Rahemah Idris, berkata persepsi wanita pada peringkat akar umbi yang selama ini dianggap sebagai ‘askar Gurkha’ dan bidak di papan catur kerana bertungkus lumus bekerja untuk menjayakan majlis, harus diubah kerana wanita turut berjuang dengan lelaki.
“Penambahan bilangan wakil pada peringkat bahagian dari kalangan wanita akan menambah kekuatan kepada Umno. Wanita Johor menyokong penuh cadangan ini kerana sudah sampai masanya persepsi Gurkha itu diubah,” katanya.
|