‘Saya tak tertekan, tidur lena’

KETUA Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, yang menjadi tumpuan apabila menangis pada sidang medianya kelmarin, kembali ceria semalam dan memberitahu pemberita beliau tidak tertekan, sebaliknya tidur lena malam kelmarin.

"Saya sangat gembira hari ini (semalam). Kelmarin cerita lain, saya menangis apabila orang sentuh hubungan saya dengan Tun (Dr Mahathir Mohamad). Soalan seperti itu terlalu berat bagi saya.

"Saya hanya tertekan jika saya di pihak yang salah dan jika apa yang saya buat tidak betul. Bagi saya, saya di pihak yang betul, jadi buat apa saya tertekan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar bertemakan 'Binaupaya Untuk Kecemerlangan' pada Persidangan Perwakilan Wanita Umno, semalam.

Pada sidang media pagi kelmarin, Rafidah gagal mengawal emosi hingga menangis apabila menjelaskan isu mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir.

Penampilan beliau bagaimanapun jauh berbeza dan kembali ceria ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan dasar semalam.

Malah, pada sesi perbahasan persidangan pergerakan itu dan Puteri tidak seorang pun perwakilan mengkritik Rafidah, kecuali beberapa perwakilan Pemuda yang menyentuh isu permit import (AP) kereta dan soal berkaitan tuntutan maaf kepada Dr Mahathir secara umum.

Ditanya mengenai khabar angin beliau akan meletak jawatan, Rafidah berkata isu berkenaan tidak pernah timbul, justeru tidak ada keperluan untuk beliau mengulas mengenainya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768