Syor tubuh kelab penerima Anugerah Emas
PERHIMPUNAN Pergerakan Wanita Umno yang mengiktiraf graduan cemerlang institut pengajian tinggi awam (IPTA) bercadang menubuhkan kelab yang dianggotai 70 penerima Anugerah Emas sejak lima tahun lalu.
Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kelab atau alumni itu akan memantau perkembangan graduan terbabit bagi memastikan mereka sudah menjadi ahli Umno dan memantau kedudukan kerjaya yang diceburi.
"Penyampaian anugerah itu bagi menghargai kegigihan usaha graduan yang mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
"Langkah ini akan diteruskan dan penubuhan kelab itu tentunya dapat memberi kesan positif untuk menarik kemasukan graduan wanita mendekati Umno," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Shahrizat berkata, pada perhimpunan kali ini, 12 graduan dipilih menerima anugerah itu apabila melepasi pemilihan yang dilakukan panel yang dianggotai Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Pelajar yang diketuai Datuk Maznah Mazlan dengan kerjasama IPTA terbabit.
Sementara itu, Maznah berkata, menerusi kelab itu, Wanita Umno akan pastikan penerima anugerah menyumbang untuk pembangunan pendidikan.
"Penerima anugerah boleh turun padang untuk membantu wanita muda dalam bidang kerjaya atau kaunseling, malah menjadi mentor kepada pelajar muda," katanya.
Beliau berkata, graduan yang dipilih akan menerima anugerah berkenaan sebelum perhimpunan pergerakan itu bermula di Dewan Tun Dr Ismail PWTC, pagi ini.
|