Personaliti Wanita: Semangat membara perjuang nasib wanita

Nama: Zalmah Abdul Rahman
Umur: 40 tahun
Asal: Pekan, Pahang
Jawatan: Naib Ketua Bahagian Pekan, Pahang
Kelulusan: Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

ZALMAH yang bergiat aktif dalam Umno sejak 1999, mengimpikan perubahan dalam pucuk pimpinan dengan lebih ramai Wanita menyertai Majlis Tertinggi (MT) pada Perhimpunan Agung parti tahun depan.

"Wanita hari ini sudah setanding lelaki dari segi kelulusan dan kemampuan melaksanakan setiap tanggungjawab diberikan. Jadi, tidak ada alasan bilangan wanita di dalam pucuk pimpinan masih rendah berbanding lelaki. Buah fikiran wanita juga penting untuk memajukan wanita lebih jauh di masa depan," katanya.

Awal pembabitannya, Zalmah dilantik memegang jawatan Ketua Cawangan Kubang Rambai, Pekan dan terus aktif sehingga memegang jawatan hari ini.

Semangat membara untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu khususnya wanita mendorong Zalmah menyertai bidang politik.

"Saya percaya wanita di bawah pimpinan Datuk Seri Rafidah Aziz berpeluang besar untuk pergi jauh dalam bidang politik dan berdiri setanding lelaki. Pergerakan wanita adalah saluran paling tepat untuk memartabatkan taraf wanita Melayu dalam pelbagai bidang," katanya.

Katanya, golongan muda yang memiliki kemahiran dan idea lebih segar perlu berganding tenaga dengan golongan veteran untuk merealisasikan matlamat memperjuangkan maruah bangsa Melayu tercapai.

Justeru, golongan muda juga perlu diberikan pertimbangan untuk ditempatkan dalam pucuk pimpinan wanita Umno.

"Orang muda mungkin lebih maju dan mahir dari beberapa segi berbanding orang lama.

"Gandingan kedua generasi ini pasti melahirkan pemimpin yang lebih gemilang pada masa depan. Golongan muda boleh memberikan input yang mereka miliki kepada golongan veteran kerana biasanya orang muda lebih aktif, banyak idea dan berfikiran lebih terbuka," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768