Personaliti Wanita: Norazizah mahu wanita Sabah terus maju

Nama: Norazizah Malari
Umur: 36 tahun
Asal: Tawau, Sabah
Jawatan: Ahli Jawatankuasa wanita bahagian Kalabakan, Tawau
Kelulusan: Sijil Pelajaran Malaysia

WALAUPUN tidak memiliki kelulusan tinggi, hasratnya menyertai politik cuma satu iaitu ingin memartabatkan nasib wanita. Kalau boleh Norazizah mahu wanita terutama dari Sabah terus maju dalam semua bidang terutama dari segi pendidikan dan kerjaya.

"Pendidikan adalah asas paling penting bagi memastikan wanita tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Pendidikan juga dapat menghindarkan wanita daripada terbabit dengan kegiatan kurang sihat dan tidak mudah menjadi mangsa penganiayaan," katanya.

Katanya, wanita adalah aset penting dalam pembangunan negara. Mendidik wanita bererti mendidik generasi akan datang yang bakal menjadi pemimpin masa depan yang lebih gemilang.

Semangatnya untuk membela nasib wanita memuncak apabila melihat nasib segelintir wanita yang terjebak dengan kegiatan tidak diingini seperti pelacuran, mangsa keganasan dan seksual yang menyedihkan.

"Kalau boleh saya tidak mahu melihat wanita terbabit dalam kegiatan yang tidak sihat akibat tidak memiliki pengetahuan atau tidak berpendidikan.

"Wanita harus terus diberi peluang untuk mengubah nasib mereka. Aktiviti berbentuk kesedaran perlu lebih banyak dijalankan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan mereka," katanya.

Norazizah yang bekerja di bahagian pentadbiran Majlis Perbandaran Tawau mendapat dorongan menyertai Umno daripada keluarganya yang turut aktif dalam bidang politik.

Beliau yang sudah mendirikan rumah tangga, mula menjadi ahli Umno sejak 2002 sebagai ahli Puteri Umno bahagian Kalabakan.

Kemampuan menjalankan segala tanggungjawab yang diberikan menyebabkan beliau dilantik sebagai Ketua Puteri dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Penaja Puteri bahagian berkenaan pada 2003 sehingga Jun 2004 sebelum beralih ke Wanita Umno.

"Sama ada dalam Puteri atau Wanita, perjuangan adalah sama iaitu mengangkat martabat wanita ke peringkat lebih tinggi. Kalau boleh kita mahu lebih ramai remaja dan wanita menyertai pergerakan ini dan bersatu meningkatkan taraf wanita hari ini," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768