|
|
|
|
|
|
|
|
Personaliti Wanita: ‘Saya mahu pastikan wanita berilmu’
Nama: Khalidah Adibah Ayob
Jawatan: Naib Ketua Wanita Kubang Pasu
Umur: 39 tahun
Asal: Jitra, Kedah
Kelulusan: Sarjana Muda Politik dan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Kaunseling Psikologi, Universiti Utara Malaysia (UUM)
MINATNYA untuk menjalankan kerja kemasyarakatan terutama menjaga kebajikan orang Melayu, menjadikan Khalidah Adibah begitu bersemangat menceburi bidang politik kerana berpendapat ia boleh dijadikan platform memperluaskan kegiatan dan program bagi masyarakat Melayu, khususnya wanita dengan lebih terancang.
Khalidah yang menjadi ahli Umno sejak 1994, terus bergerak cergas dalam Wanita Umno sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Wanita Kubang Pasu dan menjadikan kebajikan wanita sebagai agenda utamanya untuk memastikan golongan itu terus menjadi tulang belakang ke arah mencorakkan Melayu yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Beliau melihat wanita sebagai aset penting dalam membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi negara.
“Saya berpendapat, kita perlu mengenal pasti program untuk wanita termasuk lepasan siswazah, ibu tunggal dan lain-lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Bagi saya, Wanita Umno pada peringkat bahagian dan cawangan perlu lebih cergas membantu pucuk pimpinan mengenal pasti golongan berkenaan bagi memudahkan program lebih terancang disediakan kepada golongan itu.
“Program kesedaran dan latihan perlu diadakan untuk mereka dalam bidang tertentu, seperti keusahawanan untuk meningkatkan taraf hidupnya,” katanya.
Beliau sentiasa bersedia berkhidmat dalam parti bagi meneruskan perjuangan meningkatkan martabat wanita terutama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Saya berpendapat wanita dapat menggegarkan dunia dan mampu duduk setanding dan seiring dengan lelaki jika mereka sanggup mengubah minda supaya sentiasa berfikiran positif dalam pelbagai segi," katanya yang juga pertama kali diberi peluang sebagai perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|