
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood
(tengah) bersama Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin
Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Tetap Wanita,
Datuk Napsiah Omar turut mengikuti Persidangan Perwakilan
Wanita di PWTC, semalam. – Gambar Rosdan WahidKUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, menyuarakan kebimbangannya berhubung unsur baru dalam bidang kehakiman yang kini memberi penekanan terperinci terhadap ketepatan tarikh dan masa, terutama dalam kes rogol, sebagai asas pengadilan.
“Adalah sukar untuk diterima, seseorang wanita yang dianiaya dan dirogol, mesti dapat mengingat dengan tepat tarikh dan waktu kejadian, terutama dalam kes membabitkan perogol seorang ahli keluarga dan perbuatan rogol itu dilakukan berulang kali.
“Keadaan ini mengakibatkan hampir dalam semua kejadian, wanita adalah mangsa tanpa kerelaan mereka,” katanya dalam ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Wanita Umno.
Baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan sebagai berkata sebanyak 50 peratus daripada semua kes rogol yang berada di Jabatan Peguam Negara mungkin terpaksa ditarik balik jika mahkamah menetapkan bahawa pertuduhan jenayah perlu mengandungi tarikh yang terperinci.
Abdul Gani berkata jika itu keadaannya, beliau perlu mengkaji semula semua kes bagi menentukan tarikh dalam pertuduhan adalah tepat.
Pada 6 September lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan seorang bapa daripada empat tuduhan merogol anak perempuannya apabila mahkamah itu membenarkan rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 tahun dan sebatan lapan kali ke atasnya.
Tertuduh telah menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas disabit dengan kesalahan itu oleh Mahkamah Sesyen.
Rafidah berkata, wanita dalam mana-mana negara termasuk Malaysia, mengharapkan perlindungan serta pembelaan daripada undang-undang dan peraturan yang adil serta saksama.
Katanya, apabila wanita teraniaya atau dianiaya, undang-undanglah tempat berlindung dan mendapat pembelaan.
Rafidah berkata, ketika ini begitu ketara kejadian sama ada dalam keluarga atau di luar keluarga, yang menjadikan wanita mangsa, seperti rogol, penindasan dan keganasan.
Beliau berkata, mangsa rogol terutama yang muda, akan mengalami tekaan jiwa serta trauma dan tidak mungkin melaporkan serta-merta kejadian rogol itu.
“Wanita akan gagal dibela oleh undang-undang jika keperluan undang-undang untuk menentukan tarikh dan masa kejadian, menjadi unsur asas pengadilan,” katanya.
Beliau juga menekankan mengenai pentingnya ketiga-tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri, menerapkan aspek penting Pelan Integriti Nasional supaya integriti menjadi pendorong asas perjalanan parti di semua peringkat.
“Sebenarnya, integriti dan amanah wajar menjadi pegangan setiap ahli masyarakat, supaya tidak timbul penyelewengan dan salah laku yang menjejaskan masyarakat dan negara, seperti rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Rafidah berkata, wanita di Malaysia tidak harus rasa terpinggir kerana tidak diberi peluang memperoleh ilmu pengetahuan.
Katanya, kejayaan orang Melayu dan Bumiputera, tidak wajar terganggu dan terhalang semata-mata kerana tidak memperoleh ilmu pengetahuan yang diperlukan.
“Kemiskinan ilmu pasti akan menjadi dilema baru orang Melayu, jika anak muda Melayu sentiasa ketinggalan dalam pembelajaran atau tidak meletakkan memperoleh ilmu pengetahuan sebagai prioriti,” katanya.
Kemiskinan ilmu, katanya, akan meminggirkan generasi muda Melayu daripada arus kemajuan dan mengurangkan keupayaan mereka untuk bertindak secara kreatif dan inovatif.
Beliau berkata, ‘kemiskinan ilmu’ perlu dielakkan daripada membelenggu kemajuan orang Melayu dan berikutan itu perlu dipastikan semua anak Melayu mendapat akses kepada pendidikan dan supaya sekolah di luar bandar diseimbangkan infrastruktur dan bentuk pendidikan dengan sekolah di bandar.
Rafidah menegaskan, jawatan dalam Umno hanya bermakna jika masyarakat menghormati pemegang jawatan berkenaan.