Analisis: Ingatan usah ‘berdendang’ wajar dipatuhi Wanita

“ANDA semua akan berhadapan dengan seorang ketua yang tidak segan silu menegur. Saya tidak mahu ada di kalangan Exco saya membuat fitnah dan ikut cakap sedap hati. Exco-exco baru, itulah yang akan anda hadapi,” kata Datuk Seri Rafidah Aziz ketika merumuskan Persidangan Perwakilan Wanita Umno 2004, semalam.

Peringatan itu ditujukan kepada tujuh muka baru yang terpilih pada pemilihan kali ini – Norhayati Onn, Datuk Armani Mahiruddin, Azihani Ali, Rosni Zahari, Datuk Norhayati Omar, Hasnah Salam dan Datuk Azizah Mohd Dun.

Kepada yang kalah pada pemilihan semalam, pesanan Ketua Pergerakan Wanita Umno itu cukup jelas – teruskan perjuangan dalam parti atas kapasiti lain.

“Jangan kata ‘habislah I’. Anda tidak boleh menangis. Saya tidak menangis setitik pun ketika saya kalah dulu. Teruskan perjuangan kerana Umno memerlukan orang dari dalam dan luar,” katanya.

Kelantangan Rafidah juga menyaksikan ada perwakilan yang mengakui dirinya ‘orang Shahrizat’ ditegur secara terus dalam rumusannya sehingga menggelar mereka yang membuat pengakuan seperti itu sebagai ‘gatal mulut’.

“Dalam Umno jangan sekali-kali ada team siapa-siapa. Tiada team Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak ada team Datuk Seri Najib Razak. Tidak ada team Rafidah, tidak ada team Shahrizat. Semua team Umno. Kalau ada nak cakap macam tu, memang gatal mulut,” katanya.

Begitu juga tindakan seorang perwakilan yang turut menyanyi ketika membahas usul ucapan dasar beliau. Peringatan Rafidah ialah Wanita sudah tidak ada masa lagi untuk berdendang, sebaliknya tumpuan Wanita ialah kepada hujah dan cadangan yang boleh memantapkan Wanita Umno.

Kelantangan Rafidah menegur secara terbuka ahli Wanita ini membuktikan ketegasan dan ketelusan beliau, yang sudah menerajui Wanita Umno hampir 17 tahun.

Apapun, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi pembahas dan mutu perbahasan pada persidangan yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, yang menurutnya menampakkan kesungguhan ahli dalam membuat penyelidikan bagi memastikan hujah mereka bernas.

Baginya, rata-rata mereka mampu membawa usul, meskipun jelas nampak ada yang tak reti membuat lucu untuk menarik perhatian perwakilan.

“Jangan jadikan ia ukuran. Bila kita tak seronok dengar kerana tak boleh nak ketawa. Yang penting hujah mereka bernas dan ada yang buat penyelidikan.

“Jadi saya rasa puas hati kerana mereka berusaha mencari hujah, mencari statistik dan membangkitkannya dalam masa ditetapkan. Tidak ada yang disuruh berhenti,” kata Rafidah ketika ditemui selepas persidangan selesai.

Ucapan dasar Rafidah pada sebelah pagi yang bertemakan ‘Kesinambungan Kejayaan’ antara lain memberi penekanan kepada agenda Melayu, perlunya undang-undang lebih berkesan bagi menangani kes rogol dan perlunya daya saing negara diperkukuhkan.

Turut disentuh, pentingnya mengurangkan jurang antara kaum di samping mengenal pasti puncanya; pentingnya program Wanita Umno mendorong ke arah memajukan diri dan keluarga; betapa kemiskinan ilmu akan meminggirkan generasi muda Melayu dan perlunya negara menghala dasar dan program pendidikan kepada pembelajaran bestari.

Rafidah juga berjanji membangkitkan kepada Kabinet program menerapkan siswazah menganggur dalam kerajaan, namun dalam masa sama berharap mereka ini tidak terlalu mengharap kerajaan saja kerana sektor swasta turut menyediakan banyak peluang seperti sektor perkilangan dan industri asas tani.

Beliau juga bersetuju usahawan kecil wanita dibantu, sambil mencadangkan wanita membuat bancian dan memberi bantuan serta bimbingan perlu.

Kerisauan terhadap peningkatan kes rogol dan undang-undang yang dianggap masih ‘kurang berkesan’ sehingga menyaksikan si pelaku terlepas, mangsa yang pastinya wanita pula menanggung derita menyebabkan Rafidah membangkitkan masalah berkaitan.

Kematangan ahli Wanita menyaksikan perbahasan pada persidangan kali ini lebih fokus kepada perjuangan untuk wanita, dengan meminimumkan retorik atau ucapan yang berapi tapi ibarat ‘tin kosong’.

Antara yang dianggap bernas ialah cadangan supaya kerajaan mengadakan program khas kepada wanita terutama di bidang utama seperti sains penyelidikan, inovasi serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Seperti juga persidangan Pemuda, tempias isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut disentuh dengan semua menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menutup pintu kepada Anwar.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768