Persidangan Wanita: Syor program khas manfaatkan wanita
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengadakan program khas untuk wanita terutama dalam bidang utama termasuk sains penyelidikan, inovasi serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Ketua Wanita Umno Bahagian Gombak, Lele Suzana Kudari, berkata program seperti itu perlu ditawarkan bagi memperlengkapkan siswazah wanita agar dapat membantu kerajaan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
“Institusi kewangan yang sedia ada perlu memudahkan proses pinjaman perniagaan dan penilaian permohonan tanpa kerenah birokrasi seperti menyediakan laluan hijau kepada wanita kerana bimbang peniaga atau pengusaha kecil akan menggunakan khidmat peminjam tidak berlesen atau along,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Beliau turut menyarankan pemimpin wanita bahagian dan cawangan tidak menunggu sehingga pilihan raya untuk menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing sepanjang masa termasuk mendampingi rakyat.
Ketua Wanita Bahagian Jerantut, Nazilah Abdul Latif pula berharap kerajaan memberi peluang lebih besar dan bukannya sekadar mengehadkan pembabitan wanita sebanyak 30 peratus sebagai pembuat dasar.
"Kita tidak mahu kerajaan dan pentadbir atau mereka yang membuat keputusan ini memandang sebelah mata kepada wanita kerana pembabitan mereka juga penting ketika pilihan raya lalu," katanya.
Ketua Wanita Umno Bahagian Baling, Safiah Abd Rahman, mencadangkan supaya penyertaan wanita sebagai pemegang jawatan ahli lembaga pengarah di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dipertingkatkan.
Selain itu, beliau mahu kerajaan berusaha menerokai bidang baru bagi mengatasi masalah pengangguran, khususnya di kalangan lepasan graduan institusi pengajian tinggi kerana jumlah 48,100 siswazah Melayu menganggur dijangka meningkat.
Ketua Wanita Umno Bahagian Kudat, Datin Aminah Ambrose, mencadangkan wanita diletakkan di tempat strategik, secara sedar, sengaja, terancang dan ikhlas bagi membolehkan mereka mengambil alih kepemimpinan di pelbagai peringkat jawatan.
“Melihat perangkaan terkini pembabitan wanita di arena pengurusan dan pentadbiran, kita dapati wanita membentuk 12 peratus daripada jumlah mereka yang terbabit dalam pembuat dasar.
“Peratusan itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan ratio lelaki dalam sektor pekerjaan profesional dan intelektual,” katanya.
Ketua Wanita Umno Bahagian Tangga Batu, Noradibah Abdullah pula mahu kerajaan memastikan jabatan dan agensinya melaksanakan segera program perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan bidang keusahawanan terutama membabitkan penyertaan aktif wanita.
Ketua Wanita Umno Bahagian Jeli, Roslinah Mohamed, menyarankan usaha berterusan diadakan bagi melahirkan lebih ramai wanita yang berdaya saing dan maju termasuk dalam bidang keusahawanan dan ekonomi.
“Jangan ingat wanita tidak boleh berjaya. Gesaan itu tidak bermakna untuk bersaing atau mengatasi lelaki sebaliknya, kita berpendapat wanita adalah pemangkin terhadap perkembangan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Kangar, Rela Ahmad mahu penguasaan bahasa Inggeris terus diberi keutamaan kerana ia adalah elemen penting dalam era globalisasi.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu generasi akan datang, khususnya wanita menjadi generasi yang hilang sekiranya tidak mahir dalam bahasa berkenaan.
“Wanita perlu bangkit dalam era globalisasi dan berusaha merebut peluang yang ada supaya tidak terlepas ke tangan orang lain. Tidak guna jika kerajaan memperuntukkan bajet berbilion ringgit sekiranya ia tidak dimanfaatkan,” katanya.
|