Isu peraturan parti dapat perhatian

ISU berkaitan peraturan dan perlembagaan parti turut mendapat perhatian perwakilan Wanita Umno yang membahaskan ucapan dasar Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Ketua Wanita Umno Bahagian Tampin, Zainab Nasir meminta isu itu dihalusi supaya lebih telus untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan berkesan.

“Perubahan peraturan mesyuarat peringkat cawangan, eksploitasi ahli dengan mengubah masa dan tarikh mesyuarat tidak seharusnya berlaku hanya semata-mata untuk mendapat sokongan,” katanya.

Beliau berkata, mengemas kini data ahli Umno adalah antara usaha penting untuk mengurangkan kelemahan dalam parti sama ada pada peringkat bahagian dan ibu pejabat.

Ketua Wanita Bahagian Batu yang mewakili Wanita Wilayah Persekutuan, Maimunah Alwi, pula meminta perpaduan parti bukan saja dimulakan dari peringkat bawahan tetapi juga dari peringkat atas.

Beliau berkata, pemimpin di peringkat atas juga tidak sepatutnya cuba memecahbelahkan ahli kerana tindakan mereka itu boleh mendatangkan bahaya dan melemahkan parti.

“Tapi kalau mereka orang yang berpengalaman tidak akan cepat termakan hasutan orang,” katanya.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768