
PERWAKILAN Wanita Umno meneliti senarai nama calon Exco
Wanita sebelum pengundian. – Gambar oleh Rosdan WahidKUALA LUMPUR: Kejutan besar berlaku pada pemilihan Exco Wanita Umno apabila lapan penyandang, termasuk ‘wanita besi’, Datuk Maznah Abdul Hamid gagal mengekalkan jawatan dalam barisan jawatankuasa pergerakan itu bagi sesi 2004-2007.
Kelapan-lapan mereka yang berada dalam Dewan Tun Hussein Onn, tenang ketika keputusan diumumkan Pengerusi Tetap pergerakan itu, Tan Sri Aishah Ghani.
Tujuh lagi ialah Senator Datuk Hazizah Mohd Sultan, Senator Sharifah Azizah Datuk Syed Zain, Senator Datuk Dr Nor Azah Awin, Dr Robiah Kosai, Datuk Saripah Aminahbi Syed Mohamad, Mariany Mohd Yit dan Ilani Isahak.
Muka baru, terutama Nor Hayati Onn yang pertama kali bertanding menempa sejarah tersendiri apabila menduduki tangga kedua teratas dengan 593 undi.
Enam lagi muka baru yang dipilih ialah Datuk Azizah Mohd Dun (507 undi), Hasnah Salam (503), Rosni Zahari (482), Norhayati Omar (471), Azihani Ali (466) dan Datuk Armani Mahiruddin (449).
Tiga belas penyandang yang mengekalkan jawatan Exco Wanita pula ialah Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah (627), Datuk Mastika Junaidah Husin (591), Datuk Dr Norraesah Mohamad (590), Datuk Zaleha Husin (588), Melati Ali (580), Datuk Maznah Mazlan (577), Datin Paduka Mesrah Selamat (574) Datuk Khamsiyah Yeop (538), Datin Shuhanie Deraman (481), Datuk Kamilia Ibrahim (468), Senator Datin Nik Azizah Nik Yahya (468), Datuk Halimah Mohamed Sadique (454) dan Senator Datuk Da yang Mahani TP Ahmad Rafae (452).
Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz apabila ditanya mengenai kekalahan ‘orang lama’ dalam barisan Exconya, berkata:
“Tidak ada alasan mereka kalah kerana kalah atau menang, setiap tiga tahun keadaan itu akan berlaku. Itulah yang dikatakan demokrasi.”
Pada sidang akhbarnya, beliau yakin mereka yang kalah tidak akan berhenti dan akan terus berjuang bersama Umno terutama pada peringkat akar umbi.
Mengenai tujuh muka baru yang terpilih dalam pemilihan semalam, Rafidah berharap mereka dapat melaksanakan tugas selaras hala tuju pergerakan itu.
“Saya harap mereka cepat memahami budaya Exco Wanita yang sentiasa bekerja dalam pasukan dan memberi pandangan secara terbuka untuk kebaikan parti,” katanya.
Sebelum ini, dua jawatan tertinggi pergerakan itu dan jawatan pengerusi tetap tidak dipertandingkan kerana Rafidah dan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Datuk Napsiah Omar menang tanpa bertanding.