
(DARI KIRI) Norlaili, Noraidaniza, Fatimah Al Zahrah dan
Mumtaz bersama Anugerah Pingat Emas Pergerakan Wanita
Umno yang diterima mereka.WANITA Umno mengiktiraf pencapaian wanita dalam bidang pendidikan dengan memberi anugerah Pergerakan Wanita Umno 2004 sempena persidangan pergerakan itu, semalam.
Seramai 14 pelajar wanita menerima anugerah anjuran Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Pelajar pergerakan itu yang disampaikan oleh Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Selain memberi pengiktirafan kerana kejayaan cemerlang dalam pendidikan, anugerah itu juga dilihat sebagai galakan kepada wanita supaya berusaha lebih gigih bagi meningkatkan pencapaian serta daya saing pada peringkat global.
Seorang penerima anugerah, Fatimah Al-Zahrah Mohd Saat, 24, berkata anugerah itu menguatkan lagi semangatnya untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun itu juga tidak pernah menyifatkan kematian suami sebagai penghalang untuk menamatkan pengajian serta meneruskan cita-citanya.
Fatimah, bekas pelajar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUITTHO), Parit Raja, Johor, berkata usaha pergerakan itu boleh mendorong wanita untuk terus berusaha gigih bagi memastikan golongan berkenaan tidak terus dipinggirkan dalam pembangunan negara.
“Terima kasih kepada Wanita Umno yang sentiasa memperjuangkan kepentingan wanita, seterusnya memastikan peranan wanita sebagai pemangkin kecemerlangan negara,” katanya yang kematian suami sejak berada di tahun dua pengajian.
Norlaili Abdul Rahman, 36, pula berkata usaha pergerakan itu perlu diteruskan kerana bidang pendidikan paling bersesuaian untuk membuktikan wanita mampu menyaingi lelaki dalam membangunkan negara.
“Anugerah ini bukan saja memberi pengiktirafan kepada wanita tetapi turut melihat golongan ini penting dalam agenda pembangunan negara,” katanya yang kini bertugas sebagai guru pendidikan seni di Sekolah Menengah Tuanku Ampuan Intan, Kuala Berang, Terengganu.
Ibu tiga anak ini turut berterima kasih kepada pergerakan itu kerana pengiktirafan yang diberikan serta berharap menyertai pergerakan itu pada masa depan.
Bagi Nor Aidaniza Abdul Mutalib, 24, anugerah itu disifatkan berharga dan mampu mengangkat martabat wanita dalam bidang pendidikan negara.
“Saya tidak pernah tahu ada pengiktirafan seperti ini untuk menghargai pencapaian serta kejayaan wanita dalam bidang pendidikan.
“Anugerah ini mampu mendorong lebih ramai wanita mencapai kemajuan dalam bidang akademik selaras dengan era global yang memerlukan daya saing,” kata pegawai pergigian itu.