Personaliti Wanita: Mendapat pendedahan daripada bapa

Nama: Norhayati Datuk Seri Onn
Umur: 41 tahun
Asal: Kapar, Klang
Jawatan: Exco Pergerakan Wanita Umno
(baru dipilih)
Kelulusan: Stamford Kolej (Kesetiausahaan)


"PEMBABITAN dan minat saya menyertai Umno sudah bercambah sejak usia muda selepas mendapat pendedahan daripada bapa, Datuk Seri Onn Ismail yang bergiat aktif dalam dunia politik apabila sering mengikutnya menyertai pelbagai program politik," kata Norhayati.

Beliau mula menyertai Umno seawal usia 16 tahun sebagai ahli biasa dan seterusnya memegang jawatan ketua cawangan dan bahagian Pelabuhan Klang. Pada usia awal 20-an beliau sudah menjadi Ketua Wanita Bahagian Pelabuhan Klang, iaitu satu-satunya wanita pertama yang paling muda dipilih bagi jawatan berkenaan.

Kini, tugas beliau dalam Umno akan bermula dengan lebih cergas lagi apabila diberi kepercayaan oleh perwakilan untuk menganggotai antara 20 barisan Exco Wanita Umno pada pemilihan semalam.

Walaupun, beliau menyifatkan pemilihannya itu adalah sebagai satu tugas berat yang perlu dipikul untuk membawa wanita ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang, ia akan disambut.

"Saya berpendapat, perjuangan di dalam Umno dapat disemarakkan lagi menerusi gabungan muka baru dan lama yang mana masing-masing mempunyai latar belakang yang menarik bagi menyumbangkan masa, tenaga dan buah fikiran untuk memajukan Umno.

"Saya lihat barisan Exco kali ini amat unik kerana sebahagian besarnya diterajui muka lama dan gandingan tujuh lagi muka baru dan ini sekali gus boleh dimanfaatkan untuk kepentingan parti," katanya.

Beliau menyifatkan kemenangan itu bukan kemenangan individu, sebaliknya kemenangan kepada perwakilan dan harus dikongsi bersama.

Ternyata pembabitan awal dalam politik itu menjadikannya semakin matang dalam mengharungi dan memahami hala tuju parti.

"Saya akan berjumpa dengan semua perwakilan untuk mengucapkan terima kasih kerana sudi mencalonkan saya untuk diberi kepercayaan menerajui barisan Exco Wanita," katanya.

Apa yang penting, beliau berhasrat untuk menyatukan semua Wanita Umno, veteran dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam setiap program yang diaturkan supaya lebih mantap dan berkesan demi kepentingan wanita pada keseluruhannya.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768