Usul Pergerakan Wanita Umno

Usul : Sosioekonomi

Pencadang : Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Perak)

Penyokong : Khalidah Adibah Ayub (Kedah)


MEYAKINI bahawa kestabilan politik menentukan pembangunan sosioekonomi serta menjamin kejayaan dasar, ketenteraman, keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

MENGIKTIRAF bahawa perkembangan pada peringkat serantau dan global memberi kesan kepada corak dan pembangunan sosioekonomi negara.

MENGAKUI bahawa Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara sudah berjaya mengubah profil dan pencapaian sosioekonomi sebahagian besar Bumiputera.

MENYEDARI masih ada beberapa matlamat dasar yang belum tercapai seperti penghapusan kemiskinan di kalangan orang Melayu bandar dan luar bandar serta mengecilkan jurang pemilikan modal antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

MENGINSAFI pentingnya bagi semua pihak berusaha dengan lebih gigih untuk terus memperkukuh semangat jati diri, berdaya saing dan berkemahiran.

MAKA Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno Malaysia yang bersidang pada hari ini dan 22 September 2004 mengambil ketetapan menyarankan kepada kerajaan supaya:

1. MENGESAN dengan teliti Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Sosial Negara bagi mencapai pembangunan sosioekonomi yang seimbang antara kaum dan wilayah serta memastikan matlamat yang ditetapkan tercapai.

2. MENGGESA kerajaan untuk terus merancang dan memberi latihan, menyediakan prasarana yang mencukupi dan membolehkan Bumiputera memperoleh sumber produktif untuk menyediakan mereka bersaing secara aktif dan berjaya dalam era ekonomi tempatan dan antarabangsa.

3. MEMPERTINGKATKAN usaha pelaksanaan perundangan serta program pembangunan sosial yang memberi fokus antara lain kepada pegangan agama, etika, nilai murni, disiplin dan amanah untuk mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat serta memastikan negara aman dan berdaya tahan.

4. MENGGESA supaya dijalankan kajian terhadap keberkesanan pendekatan pendidikan di semua peringkat supaya dapat benar-benar dimanfaatkan Teknologi Komunikasi dan Maklumat, dipermudahkan penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan didorongi integrasi berbilang kaum melalui proses pelajaran dan pendidikan.

5. MENCADANGKAN program di sekolah yang khusus untuk meningkatkan semangat dan sikap positif generasi muda dan mendorong disiplin serta keinginan memajukan diri di samping menggerakkan inovasi dan kreativiti untuk berjaya bersaing dengan pihak lain.

6. MENYOKONG usaha berterusan kerajaan dalam pendekatan Islam Hadhari dan memastikan supaya umat Islam di Malaysia benar-benar menghayati tuntutan agama untuk menuju ke arah kecemerlangan dan kemajuan dan dengan itu melambangkan imej orang Islam yang progresif berwibawa dan disegani.

7. MENGGESA kerajaan merangka program komprehensif mobilisasi siswazah yang menganggur dan diserap ke dalam aktiviti yang boleh menambahkan kepada produktiviti dan keupayaan negara.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768