Wanita kekal peranan penstabil

KUALA LUMPUR: Wanita Umno akan terus berfungsi sebagai penstabil, bukan penyumbang yang menyebabkan wujudnya keadaan kucar-kacir dan perbalahan pada semua peringkat dalam parti.

Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata pendirian tegas itu akan tetap menjadi tradisi dalam pergerakan berkenaan, termasuk bertanding atas sifat kekeluargaan dan persefahaman.

“Istilah rebut-merebut, cabar-mencabar dan jatuh-menjatuhkan sesama ahli dalam parti bukannya istilah biasa dalam Wanita Umno dan kita juga berharap istilah sama tidak digunakan dalam parti.

“Yang penting, semua 34 calon yang mengemukakan nama untuk bertanding jawatan padai peringkat Pusat dengan rela hati mahu berkhidmat untuk parti, bangsa Melayu, Bumiputera dan negara,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Wanita Umno, semalam.

Seramai 764 perwakilan dan Exco Wanita Umno akan mengundi hari ini bagi memilih barisan 20 ahli Exco baru daripada 34 calon yang bertanding.

Rafidah berkata, beliau sentiasa mengingatkan pemimpin pergerakan itu supaya tidak dengan sengaja merebut sesuatu jawatan.

“Jika di sesuatu bahagian Umno sudah sedia ada ketua dan tidak berlaku kucar-kacir atau perbalahan, jangan sengaja berkempen untuk merebut jawatan itu kerana Wanita Umno mahu kekal sebagai penstabil dalam parti kerana lebih separuh ahli Umno adalah wanita. Jika Wanita Umno kucar-kacir, sudah tentu parti akan kucar-kacir,” katanya.

Mengenai calon Exco pergerakan itu, Rafidah berkata, tidak ada muka baru dalam senarai yang bertanding kerana semuanya sudah lama berkhidmat dalam parti terutama pada peringkat bahagian.

Rafidah juga mengingatkan penyokong setia bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya tidak bertindak hingga mengganggu program sepanjang perhimpunan kali ini kerana sikap sedemikian bukan saja menggugat parti, tetapi bangsa Melayu, Bumiputera dan rakyat.

“Daripada 2.5 juta ahli Umno, saya percaya masih ada yang menjadi penyokong setia Anwar yang cuba menarik lebih ramai ahli Umno untuk menyertai mereka.

“Bagaimanapun, Anwar bukan lagi isu pada perhimpunan agung kali ini, berbanding pada 1999 kerana rata-rata pemimpin dan ahli Umno memahami keadaan itu termasuk hukuman dan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini. Saya percaya kematangan pemimpin dan ahli Umno dapat menangkis sebarang tindakan yang dicetuskan penyokong setia individu terbabit,” kata beliau.

Sementara itu, Rafidah akan menyentuh pelbagai isu berkaitan wanita dalam ucapan dasarnya selama 30 minit pada perhimpunan agung pergerakan itu hari ini.

Ucapan beliau disusuli dengan usul ucapan dasar Ketua Wanita oleh Lele Suzana Kudari dari Wanita Umno Selangor dan disokong Nazilah Abdul Latif dari Pahang. Seramai 11 wakil pergerakan pada peringkat negeri akan membahaskan usul itu.

Pergerakan itu turut mengemukakan usul ucapan dasar presiden yang disampaikan Ketua Wanita Umno Bahagian Ampang, Dr Rozaidah Talib; usul sosio ekonomi oleh Ketua Wanita Umno Bahagian Rengas, Datuk Siti Salmah Mat Jusak, manakala usul agama oleh Ketua Wanita Umno Bahagian Kubang Kerian, Zaleha Hussin.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768