Revolusi mental persediaan penting hadapi saingan global

UMNO satu ketika dulu pernah menerbitkan buku Revolusi Mental oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman, sebagai pendorong kepada orang Melayu supaya menyesuaikan diri dengan perubahan – dari desa ke bandar, daripada petani kepada pekerja kilang, dari zaman kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kepada zaman pendapatan tetap dan perbelanjaan terancang. Buku itu bertujuan mengubah daya pemikiran orang Melayu supaya merebut peluang yang disediakan kerajaan pimpinan Umno sekitar 1960-an hingga 1970-an terutama dari segi pengisian ilmu pengetahuan. Sedikit sebanyak ia berjaya mengubah daya pemikiran orang Melayu supaya tidak terus berada di takuk lama dalam segala segi. Dalam era pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi tempoh 1970-1990, pengisian kemerdekaan mengubah masyarakat Melayu untuk lebih cenderung dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Hakikatnya, Umno sudah mengubah budaya orang Melayu dan membentuk budaya baru untuk mereka. Dan budaya inilah yang menolong menjayakan, walaupun tidak sepenuhnya, Begitu pun, dengan perkembangan global yang semakin pesat seperti proses globalisasi, keterbukaan pasaran dan bentuk ekonomi sejagat yang sudah berubah, apakah orang Melayu juga berjalan seiringan dengan perkembangan itu. Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menyarankan supaya orang Melayu menjadi lebih yakin kepada diri sendiri dan menghapuskan perasaan bimbang yang menguasai pemikiran mereka selama ini. Menurut Perdana Menteri, kebimbangan itu terlalu lama mendominasi pemikiran Melayu walaupun sesudah 50 tahun merdeka. Walaupun di kalangan orang Melayu profesional, suara-suara takut itu sudah tiada, ia masih menular di kalangan kebanyakan orang Melayu.


Generasi muda sekarang tentu ramai yang tidak mendengar atau membaca Revolusi Mental tetapi itu tidak bermakna 'revolusi mental' tidak lagi diperlukan dalam Umno dan orang Melayu amnya. Malah, perubahan minda secara revolusi ini mungkin perlu dalam menghadapi cabaran yang semakin rumit. Misalnya, orang Melayu masih mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata untuk menjalankan perniagaan, petani dan nelayan masih mengharapkan subsidi. Orang Melayu perlu sedar sudah sampai masanya mereka belajar berdikari dan belajar berdaya saing. Contohnya, sampai bila Bumiputera yang tidak tahu berniaga, cuma mampu menjadi 'Ali' dalam perkongsian 'Ali Baba'? Prestasi Melayu dan Bumiputera belum lagi sampai ke puncaknya. Ia belum sampai kepada tahap yang boleh menjamin ia dapat dikekalkan tanpa diawasi dan dipelihara oleh Umno dan kerajaan pimpinan Umno. Banyak lagi yang perlu dibuat terutama dalam pembentukan budaya dan tanggungjawab ini mesti dipikul oleh Umno. Sebelum wujud Umno, orang Melayu dihina dan dijajah. Umnolah yang mempengaruhi pemikiran orang Melayu sehingga mereka berani bangun menentang penjajah.


Satu hakikat yang harus diterima ialah faktor menentukan kejayaan sesuatu bangsa itu ialah budaya dan cara mereka berfikir. Umno mengubah budaya Melayu. Jika hari ini kita sudah mencapai kemajuan sedikit sebanyak, ia bukan saja kerana dasar kerajaan tetapi yang utamanya kerana perubahan budaya Melayu dan Bumiputera lain yang dibawa Umno. Umnolah yang menyemai kepercayaan bahawa orang Melayu mampu mentadbir negara sendiri yang merdeka. Justeru, Umno bertanggungjawab mengubah pemikiran masyarakat Melayu sekarang supaya berani dan mampu bersaing dalam era baru yang semakin mencabar.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768