Generasi muda penanda aras penentuan politik masa depan
MINGGU ini kita akan menyaksikan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekali lagi dibanjiri ribuan perwakilan serta pemerhati politik daripada seluruh negara yang hadir sempena Perhimpunan Agung Umno 2007.
Semua sayap iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mengadakan persidangan agung tahunan masing-masing hari ini, selepas perasmian serentak diadakan malam tadi.
Tidak kira tua dan muda, lelaki dan wanita, semuanya mempunyai tugas dan kepentingan dalam bersama-sama melihat corak serta gerakan perjuangan.
Buat kesekian kalinya, mesyuarat ini dijadikan gelanggang serta medan untuk perwakilan mengemukakan luahan pendapat serta merencana langkah seterusnya sebagai perintis kepada kemajuan baru.
Mungkin bagi sesetengah anak muda khasnya belia dan remaja, hal politik sebegini adalah pemikiran yang sangat berat serta rumit keadaannya. Bahkan ada yang melihat unsur politik itu sebagai sangat misteri dan takut untuk didekati.
Yalah, politik disalah gambarkan sebagai bertentangan dengan sifat orang muda itu sendiri yang ringkas, ringan dan mudah.
Salah faham beginilah sebenarnya mendorong orang muda menjauhi politik apatah lagi mengambil tahu isu berkaitan perjuangan dan pembinaan sebuah negara bangsa, sekalipun orang muda dilihat sebagai generasi yang akan mengambil alih tampuk kepemimpinan daripada pemimpin terdahulu.
Peranan orang muda dalam apa juga sektor sangat dituntut sebagai pelapis dan pewaris kepada bidang itu sendiri. Begitu juga halnya dengan kepemimpinan dan politik. Agenda politik itu sendiri sama penting dengan sosial dan ekonomi dalam faktor menentukan kemakmuran negara.
Jika masih ingat, selepas peristiwa 'kegawatan' keadaan politik negara pada 1999, hampir semua parti politik tempatan sedar bahawa orang muda adalah senjata, benteng dan modal paling ampuh untuk meneruskan perjuangan ideologi masing-masing.
Imam Al-Ghazali apabila memperkatakan mengenai masa depan, melontarkan pandangan bahawa; "Sekiranya engkau hendak melihat masa depan, maka lihatlah golongan belia pada hari ini."
Bersandarkan hikmah ini, orang muda diletakkan sebagai tanda aras masa depan sesebuah bangsa dan negara. Justeru, persiapan, persediaan dan jati diri orang muda itu sendiri sangat signifikan dalam menentukan kelangsungan nasional.
Bagaimanapun, hal ini tidak akan berjaya sekiranya orang muda sendiri enggan menggunakan peluang yang ada untuk belajar serta mengambil tahu mengenai tanggungjawab yang suatu masa terpikul dibahu mereka nanti.
Sebagai generasi pelapis, kita sewajarnya mula berlatih sekalipun terpaksa bertatih daripada awal supaya langkah kita tidak kecundang. Adalah wajar untuk kita ambil tahu bagaimana sistem pentadbiran negara dibentuk serta kepentingan meneruskan kepemimpinan sendiri di tanah air milik kita.
Banyak ruang yang disediakan untuk kita hampir dan berjinak-jinak dengan politik. Banyak juga ruang untuk kita berbakti kepada masyarakat menerusi politik. Bukan berpolitik kepartian semata-mata, bahkan melalui politik juga kita boleh menyalurkan kuasa serta posisi yang ada untuk meluahkan pendapat serta pandangan yang akhirnya boleh digunakan untuk mencetus kepada angin perubahan.
Mungkin bagi yang berada di negara yang kuasa politiknya bersifat kuku besi, menindas serta terhad, orang mudanya akan hilang 'taring' serta semangat dan jiwa kepemimpinannya.
Bagi orang muda di negara demokrasi dan bebas seperti kita, langkah anak muda boleh digerak sebaiknya untuk menyumbang bagi sama-sama memacu hala nasional. Bahkan lebih bertuah, ada yang turut sama diberi tempat bagi memutus dasar dan membuat keputusan.
Sempena minggu yang penuh semangat dan gema laungan perjuangan ini, saya ingin menyeru kepada anak muda khususnya remaja dan belia kita agar sama-sama teguhkan iltizam untuk mula mengambil tahu serta memainkan peranan dalam soal kelangsungan politik bangsa.
Sejak di sekolah, kita sudah diajar sejarah, mengenai peri pentingnya mempertahankan kuasa serta kedaulatan yang ada. Mungkin kerana sejak kecil, celik mata saja kita hidup selesa dan makanan tersedia di depan mata.
Kita tidak mahu 50 tahun nikmat merdeka yang kita kecapi selama ini akan terkubur serta bernokhtah apabila tampuk kepemimpinan diserahkan kepada generasi yang kabur hala tujunya. Kita juga tidak mahu negara goyah.
Justeru, anjaklah jiwa, ubahlah minda. Siapa pun, di manapun, bagaimanapun dan apa juga latar belakangnya, kita memiliki 'sesuatu' untuk disumbangkan kepada kelangsungan politik negara. Bukankah negara kita, tanggungjawab kita? Sehingga berjumpa lagi.
Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno
|