Kedewasaan Umno jadikan ahli matang, bertanggungjawab

BUKAN mudah untuk mengendalikan persidangan terbesar bagi orang Melayu seperti Perhimpunan Agung Umno ke-58 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Itulah tugas yang perlu disempurnakan Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Onn Ismail yang begitu sebati dengan jubah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerana menyandang jawatan itu selama tiga penggal hingga sekarang. Ikuti wawancara wartawan Berita Harian, Wan Jailani Razak bersamanya.


>>Apa signifikan Perhimpunan Agung Umno kepada perjuangan memperkasa kedudukan Melayu pada pandangan Tan Sri.


Tahun ini, insya-Allah kita akan menjalankan Perhimpunan Agung buat kali ke-58 mengikut takwim sejarah Umno sebagai sebuah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang unggul di negara ini. Tema yang kita guna tahun ini ialah 'Umno Cemerlang, Malaysia Gemilang'. Umno kini yang sudah berusia 61 tahun membuktikan ia adalah kesinambungan kecemerlangan kepemimpinan bangsa kita sejak dulu hingga ke hari ini yang perlu dihayati. Keupayaan parti mengekalkan prinsip perjuangan sejak ia ditubuhkan, menjadikan Umno diterima sebagai tulang belakang dalam pentadbiran kerajaan.


Kita terus setia memperjuangkan cita-cita kebangsaan Melayu demi martabat bangsa, agama dan negara. Perhimpunan Agung Umno adalah persidangan terbesar bagi orang Melayu berikutan pertubuhan itu yang dianggotai seramai 3.3 juta ahli. Sebagai memenuhi peraturan dan kehendak perlembagaan, perhimpunan agung ini disertai 2,522 perwakilan iaitu 791 perwakilan perhimpunan agung pergerakan Wanita serta masing-masing 787 dan 773 perwakilan perhimpunan agung pergerakan Pemuda dan Puteri. Pertubuhan kebangsaan Melayu ini juga menjemput Kelab Umno yang ada di seluruh dunia. Sejumlah anak muda Melayu yang sedang menuntut di universiti di seluruh dunia akan pulang dan menyertai perhimpunan kali ini, mewakili 68 Kelab Umno Luar Negara. Minat golongan muda terpelajar ini kepada parti akan menyuburkan sikap kepemimpinan masa depan.


>>Apa persiapan Tan Sri untuk mengendalikan perhimpunan sebesar ini.


Saya sedar untuk mempengerusikan perhimpunan sebesar ini memerlukan tumpuan serius. Atas rasa tanggungjawab itu, saya sudah mempersiapkan segala yang perlu untuk dilaksanakan. Saya yakin perwakilan yang sudah matang dan lebih cintakan parti ini, akan mempermudahkan tugas saya. Tarikh perhimpunan kekal mengikut yang sudah ditetapkan Majlis Tertinggi Umno iaitu mulai 5 hingga 9 November.


>>Apakah fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh perwakilan.


Sudah diketahui umum bahawa perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-12. Kecemerlangan Umno sebagai tulang belakang kerajaan sudah terbukti terus membela nasib bangsa. Oleh itu, Umno terus diterima pada semua peringkat. Pertambahan jumlah ahli dan cawangan baru jelas menunjukkan parti terus kukuh dan berkembang. Umumnya isu yang dijangka dikemukakan adalah menjurus kepada hal kebajikan rakyat, selain ekonomi dan pembangunan negara, masalah sosial dan pendidikan. Saya yakin dengan kepemimpinan yang ada sekarang dan dengan pendekatan berkesan, kita dapat melihat banyak perubahan dicapai.


Saya lihat dengan jelas kepemimpinan kerajaan tidak pernah mungkir, malah sentiasa membela nasib rakyat. Bertitik tolak daripada ucapan Presiden tahun lalu dengan tajuk 'Kata Dikota', jelas banyak perkara sedang dilaksanakan sekarang untuk kemakmuran masa depan Melayu dan rakyat, antaranya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Misi Nasional 2057 dan Membangun Modal Insan. Kesinambungan perjuangan memakmurkan rakyat menerusi agenda ekonomi dan menyeimbangkan pendapatan antara bandar dan luar bandar. Kerajaan kini sedang menterjemahkan apa dimaksudkan oleh Presiden parti dengan mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Selatan, Koridor Utara dan Koridor Pantai Timur.


>>Harapan dan nasihat Tan Sri kepada perwakilan menjelang perhimpunan kali ini.


Sempena persidangan bangsa Melayu terbesar dan Umno sendiri sebagai sebuah parti politik yang usianya mencecah 61 tahun, saya berharap kedewasaan itu menjadikan kita sebagai anggotanya lebih matang dan bertanggungjawab. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan rakyat yang bertanggungjawab membina negara, kita pasti sedar bahawa pilihan raya umum semakin hampir. Parti yang kuat dan padu saja akan berupaya mengekalkan kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang kita warisi. Budi bahasa amalan kita, kita perlu amalkan budaya dan adat ketimuran yang murni. Saya sentiasa yakin perwakilan tahu tanggungjawab dan pandai menjaga tatasusila dengan semangat menghayati cogan kata keramat 'Bersatu Bersetia Berkhidmat'.


Saya harap perwakilan dapat mengelak daripada membangkitkan isu sensitif mengenai kaum. Saya fikir perwakilan lebih maklum dan matang.... tak payah sentuhlah mengenai perkara yang remeh-temeh sebab kita sudah hampir dengan pilihan raya umum. Kita juga perlu mengelak daripada melakukan serangan peribadi. Tak usahlah kerana kita kaya dengan budaya hidup masyarakat Timur. Kita perlu fokus usaha memperkuatkan perpaduan di kalangan kaum untuk menghadapi pilihan raya. Juga, elakkan daripada membincangkan pengagihan kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana dalam BN, kita ada ‘platform’ sendiri untuk bincang. Banyak kemajuan sudah dicapai selepas 50 tahun negara merdeka. Umno masih relevan dengan rakyat. Rakyat sendiri dapat mengukur kemajuan, mengisi kemerdekaan dan sekarang mempertahankan kemerdekaan.


>>Apakah Tan Sri akan terus berpantun seloka pada persidangan kali ini.


Saya tidak pernah gagal menghadiri Perhimpunan Agung Umno. Saya jadi wakil rakyat pada 1974 dan saya menghadiri perhimpunan lebih awal daripada itu. Saya suka menyelitkan seloka yang pernah digunakan Za'aba dan yang menjadi prinsip hidup saya ialah 'berbuatlah baik ayuhai rakan, dalam lautan kamu campakkan, kalau tidak dikenal ikan, Tuhanmu tahu iya kah bukan'. Saya tak lupa yang pandai berpantun ialah veteran Umno Tan Sri Aziz Tapa.


>>Apakah kenangan manis Tan Sri sejak menyertai persidangan pada awal 1970-an sehingga sekarang.


Saya tidak lupa dengan kebijaksanaan Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah (Pengerusi Tetap Umno sebelum ini) ketika beliau memimpin perhimpunan selama 26 tahun berturut-turut. Kehebatan beliau susah untuk ditandingi. Tun Sulaiman sudah menunjuk ajar kita selama itu. Peristiwa yang saya tidak boleh lupa sepanjang menghadiri perhimpunan pula ialah ketika (bekas Perdana Menteri) Tun Mahathir Mohamad mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan. Hari ini saya yakin Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dapat memimpin parti dengan baik dan kita perlu beri sokongan tidak berbelah bagi.


>>Pada setiap perhimpunan, permintaan perwakilan untuk diberikan masa tambahan untuk berbahas dilihat membataskan masa untuk pembahas lain berucap. Apa pendapat Tan Sri mengenainya.


Setiap pembahas diberikan masa 15 minit. Soal masa menjadi masalah kerana kadang-kadang apabila sampai masa tiga minit lagi tempoh berucap hendak habis, perwakilan kata teruskan. Dalam perhimpunan, kuasa perwakilan besar. Jika minta diteruskan, saya sebagai pengerusi kena ikut. Sebab itu saya minta kerjasama daripada pembahas supaya jaga masa bagi memastikan setiap pembahas dapat berucap. Tahun lalu, ada yang tidak dapat berucap kerana orang lain sudah curi masa dia. Saya harap tahun ini mereka dapat mematuhi masa. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman mengendalikan sidang DUN Selangor selama tiga penggal dan perhimpunan agung Umno lalu, saya sudah masak dengan helah perwakilan untuk menagih tambahan masa.


Walaupun lebih suka perwakilan mematuhi peraturan yang membataskan ucapan sehingga 15 minit, apa salahnya jika diberi kelonggaran andainya pembahas pintar berhujah dan mendapat reaksi positif perwakilan. Tetapi jika boleh, perwakilan janganlah terlalu terikat kepada teks kerana ia boleh menimbulkan kebosanan. Bagaimanapun, saya gembira kerana mempunyai seorang timbalan, Datuk Badruddin Amiruldin, yang bagus dan boleh diharapkan. Dulu, beliaulah yang paling hebat berlawak jenaka dan pandai memujuk untuk diberikan tambahan masa. Pada sebelah petang, bolehlah saya serahkan tugas kepada beliau agar persidangan tidak membosankan.


>>Pendapat Tan Sri mengenai 'mood' persidangan kali ini berikutan tiada pemilihan dalam parti.


Walaupun tidak ada pemilihan, semua tahu kita kena dahulukan pilihan raya. Jadi, saya berasa 'mood'nya sebagai pejuang, kita hebatkan lagi usaha menggerakkan jentera bagi menghadapi pilihan raya. ‘Mood’ kali ini adalah 'mood' pilihan raya. Kita hendakkan perwakilan memberi idea yang baik untuk menghadapi pilihan raya. Bagi saya, klimaks berparti ialah kita mesti menang pilihan raya dan dapat membentuk kerajaan. Insya-Allah rakyat sudah tahu Umno relevan untuk masa dulu, kini dan selamanya.



Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768