Umno tak pernah korban prinsip

PERHIMPUNAN agung Umno bermula hari ini dengan amanat tertutup Presiden, diikuti perasmian serentak perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden malam ini. Perwakilan yang menjadi wakil atau jurucakap perhubungan Umno negeri pula sudah bersiap sedia dengan hujah masing-masing untuk disampaikan ketika perbahasan usul nanti. Yang pasti, perwakilan bebas untuk bercakap apa saja, asalkan tahu tatasusila, had dan sensitiviti kaum. Ikuti temu bual wartawan Berita Harian, ROHANIZA IDRIS dengan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di kediamannya di Bukit Damansara, kelmarin untuk mengulas lanjut perkara ini.


Apakah fokus yang akan diberikan perhatian dalam perhimpunan agung Umno kali ini.


Setiap tahun ucapan dasar Presiden adalah ucapan terpenting bukan saja ditunggu ahli parti, malah seluruh rakyat. Biasanya Presiden yang juga Perdana Menteri akan menggariskan hala tuju dan dasar penting. Ia memang ditunggu rakyat. Saya pasti Presiden akan memberi fokus kepada pencapaian Umno sempena sambutan 50 tahun merdeka dan mengimbau kembali sejarah perjuangan dan sumbangan parti kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara. Sumbangan Umno kepada kejayaan dalam semua bidang juga disentuh, begitu juga sumbangan pemimpin terdahulu dan peranan pemimpin sekarang. Presiden juga akan mengingatkan semula ahli mengenai peranan mereka, sokongan Umno dalam mengukuh perpaduan pelbagai kaum dalam kita mencipta kejayaan yang cukup gemilang. Ia antara yang akan difokuskan supaya orang tidak lupa dengan jasa Umno.


Apakah perbezaan dan keunikan perhimpunan kali ini.


Boleh dikatakan setiap tahun perhimpunan, ada keunikannya tersendiri mengikut keadaan semasa. Tahun ini, apa yang istimewa dan uniknya ialah parti akan memantau kejayaan besarnya di samping perbahasan akan banyak berkisar mengenai pilihan raya, yang semakin hampir. Untuk itu, saya mahu menegaskan, Umno perlu kukuh dan menjadi kuat serta memberi gambaran positif bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN). Saya pasti Presiden akan menyentuh mengenai isu ini dan saya jangka wakil negeri tidak boleh elak, untuk menyatakan apa yang mereka sudah lakukan untuk pilihan raya kerana persiapan pilihan raya sudah lama dilakukan. Isu yang menarik perhatian rakyat pastinya turut dikemukakan seperti isu tempatan, nasional dan antarabangsa. Saya fikir turut disentuh ialah mengenai hubungan antara parti komponen BN yang mesti dimantapkan dan dengan pilihan raya semakin hampir, kita tidak mahu satu gambaran seolah-olah ada perselisihan dan perpecahan dalam BN dari segi soal hubungan dan pendapat. Waktu ini cukup penting untuk kita memberi persepsi betul mengenai Umno dan BN. Selain itu, sudah pasti ahli parti hendak melihat hala tuju Umno yang mungkin akan disentuh Presiden parti kerana biasa beliau mahu visi dan misi nasional kita seperti Wawasan 2020 dapat dicapai. Presiden juga akan menggariskan apa yang kita harapkan menjelang Wawasan 2020 itu nanti, ke arah terbentuknya sebuah negara dinamik, moden dan maju untuk 50 tahun akan datang.


Bagaimana dengan isu semasa.


Dalam keadaan semasa terutama beberapa perkara yang ditimbulkan sejak kebelakangan ini seperti soal perhubungan antara kaum dan agama, sudah tentu akan dibangkitkan dalam perhimpunan kali ini. Perhimpunan ini akan menjadi landasan untuk ahli parti menegaskan prinsip perjuangan parti dan ini perlu sentiasa kita ulang supaya ahli parti tahu apa asas perjuangan Umno dan prinsip yang kita perjuangkan bagi membela nasib bangsa orang Melayu, agama Islam, bahasa, budaya dan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan. Pada masa sama, perwakilan perlu menghormati hak bangsa lain dari segi agama dan budaya mereka serta pentingnya semangat saling hormat menghormati, hubungan baik antara kaum diteruskan. Penting untuk kita terus mempertahan prinsip perpaduan nasional di samping mengingatkan mengenai apa yang perlu diperjuangkan orang Melayu.


Apa lagi yang perlu dibangkitkan dalam perhimpunan kali ini.


Penting juga kali ini, kesempatan diambil untuk memperbetul dan memperbaiki tanggapan sesetengah pihak termasuk orang Melayu luar parti yang menyatakan kononnya Umno hari ini lemah dan tidak berani menyuarakan hak dan kepentingan orang Melayu. Golongan ini juga menyatakan Umno hari ini sudah terkena sindrom menafikan dan tidak berani mempertahan serta memperjuangkan hak orang kita. Ada juga yang kata Umno tidak fokus kepada perjuangan orang Melayu - itu persepsi yang perlu diperbetulkan oleh Umno kerana persepsi itu tidak betul. Ia berlaku kerana orang Melayu sudah dikaburi pelbagai kenyataan yang dibangkitkan beberapa pihak seolah kita tidak fokus kepada asas perjuangan kita. Mereka ini orang luar Umno. Ada Melayu di luar Umno kata Umno tidak seperti dulu, tidak begitu tegas memperjuangkan hak orang Melayu dan ada yang beranggapan kita berkompromi kepada bangsa lain. Ini semua tanggapan, ini semua pada saya tidak betul dan kita perlu perbetulkan kerana kita tidak pernah mengorbankan prinsip perjuangan kita. Perhimpunan ini menjadi landasan terbaik untuk memperbetulkan persepsi, tetapi dengan hujah yang kukuh.


Bagaimana pula dengan pandangan yang mengatakan Umno kini tidak lagi memperjuangkan nasib orang Melayu sejak Bumiputera lain dibenarkan menyertai parti itu.


Itu mungkin hanya tanggapan dan dalam politik, persepsi itu perlu diambil kira. Sebenarnya ia tidak begitu, hanya orang yang melihat kita begitu sedangkan maksud dan tujuan kita tidak begitu. Persepsi politik ini perlu diperbetulkan walaupun hakikatnya kita tidak begitu. Soalnya, sejak Umno menerima masuk Bumiputera yang tidak sampai satu peratus itu, kita sebenarnya tidak pun mengubah perjuangan dan pemikiran parti. Ini perlu diperbetulkan supaya tidak timbul salah tanggapan.


Sejauh mana Tan Sri pasti perwakilan yang berbahas dapat memperbetulkan persepsi tanpa menggunakan intonasi yang lantang, sebaliknya menggunakan nada sederhana dan berhemah.


Ia memang tidak mudah. Dalam perhimpunan ini kita tidak sekat atau halang atau beritahu jangan walaupun ada panduan perlu dipatuhi. Kita beri kebebasan untuk berhujah, kita amalkan keterbukaan dan kebebasan untuk perwakilan memberikan pendapat masing-masing. Saya berpendapat nada yang disampaikan dalam ucapan dasar Presiden dan ucapan perasmian Timbalan Presiden untuk perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri akan menjadi panduan kepada keseluruhan perwakilan. Memang tidak mudah tetapi saya yakin perwakilan faham kerana kita tidak mahu pulang dari perhimpunan nanti timbul gambaran seolah kepemimpinan parti kita tidak ambil kira imej parti dan keterbukaan serta keadilan yang diamalkannya. Negara kita demokratik, kita beri kebebasan walaupun ada isu dan masalah yang menyentuh orang Melayu dan bangsa lain, Dalam era kepemimpinan terbuka Pak Lah kini, sudah tentu orang lebih bersedia dan terbuka memberikan pandangan dan pendapat. Elok juga kita jadikan perhimpunan ini medan untuk mengingatkan supaya jangan salah gunakan keterbukaan dan kelonggaran yang diberikan, mesti ada had dan batasan, mesti berpandu kepada asas moral, saling hormat-menghormati.


Adakah perhimpunan kali ini perwakilan akan bangkitkan isu mengenai kerusi dan jawatan dalam kerajaan seperti dibangkitkan parti komponen lain dalam BN.


Saya tidak fikir ini akan dibangkitkan. Perhimpunan ini tidak sepatutnya terlalu membincangkan soal yang terlalu khusus seperti itu. Kita sentuh soal dasar, ia boleh dijadikan contoh secara sekilas pandangan, jangan jadikan ia benda yang menjadi debat dan terarah kepada soal yang agak remeh. Isu mengenai kerusi (pilihan raya), kuota dan kedudukan parti komponen ini terserah kepada pucuk kepemimpinan parti. Saya fikir cara kita menyebut perkara itu, kadangkala cara penyampaian memainkan peranan. Ada satu pihak bercakap mudah diterima kerana ia tidak mendesak dan kasar, mungkin ia guna cara yang lembut . Itu terserah kepada kebijaksanaan dan pengalaman orang yang bercakap tetapi kena jaga perasaan supaya tidak dilihat perhimpunan ini disalahgunakan dan mengambil kesempatan. Mungkin setiap parti komponen ada cara masing-masing dalam perhimpunan agung masing-masing itu untuk kemuka dan tuntut hak mereka. Namun harus diingat soal muktamadnya adalah keputusan kepemimpinan BN. Pembahas boleh memberikan pandangan mereka tetapi dengan cara yang berhemah.


Perhimpunan kali ini diadakan hampir dengan pilihan raya umum. Namun, ada suara menyatakan ia mungkin dijadikan pembahas untuk melobi bagi pemilihan Umno nanti.


Soal pemilihan tidak wajar dibangkitkan. Ia bukan tempat untuk berkempen, soal pemilihan parti perlu dikemudiankan dan apa yang penting soal pilihan raya umum. Saya tidak fikir wakil negeri akan membangkitkan soal pemilihan. Selama ini mereka agak patuh, saya tidak katakan ini tidak penting tetapi ini bukan masanya. Selepas pilihan raya nanti, ada masa lagi untuk melobi, sekarang kita kena fokus kepada soal pilihan raya, membetulkan persepsi dan salah tanggapan terhadap Umno, bincang isu ekonomi, pembangunan koridor, soal modal insan, aspek integriti pengurusan dalam parti dan kerajaan, selain memperkukuhkan asas perjuangan parti.


Dalam perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mereka dilihat akan lantang membuat desakan permintaan mengenai kedudukan dan kerusi bagi golongan wanita dan orang muda.


Ini biasa terjadi, namun saya sebutkan tadi jangan jadikan perhimpunan ini sebagai agenda untuk membentangkan perkara ini. Kita tidak sekat untuk sesiapa bincangkan soal ini, namun lebih baik gunakan forum ini untuk bincangkan perkara lain bukannya fokus kepada kedudukan jawatan, seolah-olah pergerakan agak sempit. Mereka kena ingat apabila sampai masa dan ketika, proses peralihan berlaku dan ia berlaku sepanjang masa tanpa dipaksa. Peralihan ini biasanya orang lama akan beralih dan muda mengambil alih. Kita kena ingat semua sayap Umno ada peranan masing-masing. Kalau tiada kedudukan, tidak bermakna kita tiada peranan. Jangan isu ini dijadikan fokus, kalau ini hendak dibuat pun kita tidak perlu tunggu pada perhimpunan agung. Di luar perhimpunan agung, pemimpin mereka ada beri pandangan mereka dan kita terbuka untuk membincangkannya.


Adakah etika pemilihan parti dan etika ahli Umno yang dipinda akan dibentangkan pada perhimpunan kali ini.


Perkara ini tidak akan dibentangkan pada perhimpunan kali ini. Ia hanya membabitkan peringkat majlis tertinggi (MT). Semua kerja dalam soal peraturan Pemuda dan Puteri termasuk pindaan yang dicadangkan sudah disiapkan tetapi ia tidak memerlukan dibawa kepada perhimpunan agung. pindaan hanya membabitkan pentadbiran saja. Etika ahli pun saja sudah siapkan. Begitu juga soal politik wang, soal dalaman parti juga sudah siap dan diserahkan kepada pengurusan. Kini kita menunggu untuk diserahkan kepada MT tetapi bukan dalam waktu terdekat ini. Peraturan dan cadangan pindaan ini tidak membabitkan perlembagaan. Setakat ini, saya tidak menerima cadangan atau usul daripada mana pihak pun termasuk arahan kepemimpinan parti, soal pindaan perlembagaan


Ada kemungkinan rumusan daripada perhimpunan kali ini dijadikan panduan bagi manifesto pilihan raya umum yang semakin hampir.


Manifesto biasanya kita melihat kepada apa yang hendak menjadi hala tuju, perhatian dan penekanan. Mungkin pandangan ahli parti diambil kira dalam menggubal manifesto, apa slogan yang akan dipakai. Saya fikir mungkin rumusan persidangan ini akan di ambilkira tetapi Presiden yang menentukannya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768