Boleh bercakap asalkan ikut garis panduan
TAHUN lalu, kali pertama dalam sejarah negara, perhimpunan agung Umno disiarkan secara langsung di stesen televisyen berbayar. Hasilnya, tersiarlah tindakan beberapa perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan yang 'terbabas' sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.
Berikutan itu, ada pihak tampil dan membuat empat laporan polis terhadap beberapa ahli Umno yang dikatakan menggunakan perkataan atau bahasa sensitif, mengikut Akta Hasutan.
Untuk itu, kali ini Perhimpunan Agung Umno tidak lagi disiarkan secara langsung dan ia sudah tentu melegakan sesetengah perwakilan yang bakal menjadi pembahas. Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk pembahas bercakap apa saja dan menyentuh sensitiviti masyarakat.
Tahun lalu juga menyaksikan dua ahli Pemuda yang berbahas pada perhimpunan agung pergerakan itu dipanggil Lembaga Disiplin Umno kerana menyentuh sensitiviti kaum lain di negara ini.
Pembahas sepatutnya berucap mengikut garis panduan yang ditetapkan parti dan perkara ini diakui Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Abdul Fattah Abdullah yang ditemui baru-baru ini.
"Ada atau tidak siaran langsung bukan persoalannya. Apa yang penting, mereka yang menjadi pembahas pada perhimpunan agung Pergerakan Pemuda nanti perlu mengikut garis panduan dan etika ditetapkan termasuk tidak menyentuh sensitiviti masyarakat, hal ehwal Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja.
"Mereka mesti beretika dan menggunakan bahasa sopan. Mereka yang menjadi pembahas boleh cakap apa saja asalkan tidak melanggar peraturan dan garis panduan yang ditetapkan parti dan perkara ini sudah diberitahu sebelum sesi perbahasan bermula.
"Malah, kita ada jawatankuasa usul yang mengatur dan menasihatkan pembahas supaya beretika dan mengikut peraturan. Saya juga akan membacakan peraturan mesyuarat dan etika berucap bagi memastikan pembahas tidak tersasar," kata Abdul Fattah.
Tahun lalu, dua ahli Pergerakan Pemuda Umno dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti kerana perbahasan mereka melanggar peraturan parti dan mempunyai unsur hasutan kerana menyentuh isu sensitif.
Mereka walaupun tidak dikenakan tindakan, pastinya terkesan dan akan ingat dengan amaran yang dikeluarkan lembaga berkenaan.
"Saya akan pastikan tahun ini, tiada lagi pembahas mengulangi kesilapan tahun lalu sehingga terpaksa dipanggil Lembaga Disiplin," janji Abdul Fattah.
Untuk itu, beliau menggariskan beberapa ingatan lain yang perlu dipatuhi pembahas Pemuda Umno iaitu;
Perwakilan diminta bercakap dengan berhemah, ucapan mempunyai fakta, kreatif, berbentuk analisis dan mempunyai kredibiliti;
Maksud ucapan perlu sampai dan jangan terlalu fokus kepada pantun, gurindam, sajak semata-mata. Boleh menggunakan semua itu kerana ia kreativiti masing-masing tetapi jangan terlalu panjang sehingga menyebabkan perbahasan melebihi masa ditetapkan;
Patuh pada masa yang ditetapkan;
Pendedahan perlu ada bukti yang menyokong, dan
Relevan serta bertanggungjawab - kurangkan lawak jenaka kerana perhimpunan bukan tempat mencari bakat penghibur seperti program Sinaran Pasport Kegemilangan.
Mengenai personaliti pembahas, beliau mengakui sebagai orang politik sudah tentu berupaya berucap di khalayak ramai. Namun itu saja tidak cukup jika ucapan tidak berkualiti dan tidak dapat menyampaikan hasrat kumpulan yang diwakili.
Dalam konteks hari ini, kualiti ucapan mencerminkan bukan saja personaliti sebaliknya siapa yang mereka wakili dan mungkin ini ruang untuk Pemuda menyerlahkan bakat, selain mengintai peluang untuk mengecap kemasyhuran dalam parti.
Justeru, adalah lebih baik pada masa depan setiap orang yang hendak bercakap pada perhimpunan agung Umno khususnya mereka yang baru kali pertama diberikan kursus segera bagaimana bercakap di hadapan khalayak.
Sebelum ini, ada yang menyatakan siaran langsung persidangan akan dapat mematangkan pembahas kerana dapat belajar berhujah dengan tertib dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
Namun, seperti yang dikatakan ada atau tidak siaran langsung seharusnya Pemuda perlu matang ketika menyampaikan hujah kerana yang terpilih sebagai pembahas walaupun pertama kali bukannya budak sekolah atau remaja yang baru belajar berbahas.
Namanya memang pergerakan Pemuda, namun yang memimpin pergerakan itu rata-rata berumur 30-an dan ke atas, maka seharusnya tidak timbul 'orang muda yang matang ini' mengeluarkan tutur kata yang menyinggung perasaan dan tidak beradab.
Lagipun, sudah tentu di cawangan atau bahagian masing-masing mereka berpeluang untuk berucap, malah yang terpilih berbahas adalah pemimpin pada peringkat cawangan dan bahagian masing-masing.
Kesimpulannya, dalam persidangan kali ini, tutur kata kelakuan perlulah tertib supaya tidak memalukan bangsa dan kepemimpinan parti.
|