Wanita terus berjuang mencari pengiktirafan
KEDUDUKAN Pergerakan Wanita Umno yang kental dengan diterajui ketua dan naib ketuanya berstatus menteri tidak seharusnya membuktikan pengiktirafan parti dan kerajaan terhadap kewibawaan kepemimpinan kaum hawa. Apakah pelbagai desakan seperti meminta kuota 30 peratus untuk wanita dalam pelbagai sektor seperti peringkat pembuat dasar, akan terus bergema pada perhimpunan pergerakan itu kali ini. Kita ikuti pandangan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz bersama media, termasuk Berita Harian yang diwakili Penulis Khasnya, NORFATIMAH AHMAD.
Khabarnya usul Wanita Umno kali ini adalah sesuatu yang berbeza dan menarik, boleh Datuk Seri jelaskan.
Kali ini satu saja usul, kita sudah 50 tahun merdeka dan tentu sekali yang hadir ada orang lama dan baru. Oleh itu, kita nak imbas kembali sedikit sebanyak untuk mengingatkan kita apa kita lalui selama ini dan apa pula yang kita pandang ke depan.
Apakah akan diselitkan mesej tertentu mengenai perjuangan wanita dalam parti sepanjang tempoh ini.
Ya, tentunya mengenai perjuangan wanita dulu, sekarang dan akan datang, selain kita ketengahkan isu sepanjang masa sebelum kemerdekaan dicapai dan isu yang dihadapi negara membangun seperti kita. Semua itu digabungkan dari segi ekonomi, sosial, politik dan agama yang akan dibincang dan ditentukan apa harus kita buat, apa yang harus kita minta kerajaan terus lakukan supaya 50 tahun akan datang kita menjadi negara lebih kukuh.
Memang jelas pengorbanan Wanita Umno selama ini tidak boleh dinafikan, tetapi bagaimana kita hendak pastikan dengan jumlah keahlian yang ramai, Wanita Umno mendapat pengiktirafan bukan sekadar cakap-cakap saja, tetapi secara nyata.
Memang dalam Kabinet kita setuju 30 peratus (jumlah wanita diberi jawatan tinggi atau pembuat keputusan). Memang ada tempat di mana kita dapat lebih 30 peratus, tetapi ragu pula orang mengenainya. Wanita di universiti lebih ramai, itu pun ada yang risau, jadi bagi kita jika 30 peratus layak, kita ambil 30 peratus, jangan nak sekat-sekat.
Ada tempat kita kena lihat realiti. Dalam pilihan raya, tidak boleh 30 peratus... mungkin kita minta 30 peratus kerusi Umno, tetapi kerusi Dewan Rakyat kita tidak boleh kerana kita agih dengan 14 parti, di negeri juga sama kerana kita ada konsep perkongsian kuasa. Tetapi bagi Wanita Umno, kita cuba lebih daripada biasa kerana kita banyak kerusi dan parti kita segar, wanita lebih daripada separuh dan itu kekuatan kita. Kita tidak boleh ikut negara lain yang tiada sistem macam ini, asyik bertanding saja, sesetengah itu tak payah bertanding, main ambil saja. Tetapi dalam hal lain, macam dalam perkhidmatan awam, lebih daripada 30 peratus pun boleh capai.
Dalam Umno sendiri, apakah hasrat untuk mencapai 30 peratus itu dibincang dan diperjuangkan atau setakat 10 peratus pun tidak apa.
Yang penting sejauh mana kekuatan 10 peratus itu. Bagi saya, bilangan saja tidak cukup jika separuh daripadanya sekadar 'wallpaper' kerana hendak menghangatkan kerusi. Tetapi jika seorang pun hadir tetapi bercakap macam 20 orang, itu yang kita nak. Jadi Wanita Umno biasa bila kita hantar seorang, bermakna dia boleh pertahankan keadaan, itu yang penting. Jangan tengok bilangan kerana jika ramai satu bas pun kita hantar, tapi takut, malu, segan, tak bersedia untuk bercakap.. macam mana? Tetapi jika ada seorang atau dua yang betul-betul faham isu, dia boleh bawa perubahan.. saya mungkin seorang, tetapi bersedialah.
Bagaimana penyertaan wanita untuk memegang jawatan ketua pada peringkat cawangan dan bahagian Umno.
Ia terpulang kepada wanita, tidak ada siapa yang halang wanita bertanding, jika rasa dia layak nak bertanding ketua cawangan, ketua bahagian... silakan bertanding. Kita memang terbuka, memang bebas, tetapi ada satu dua bahagian dia tak bagi orang bertanding sebab itu yang bergaduh.
Tetapi, kadang-kadang wanita sendiri tidak mahu. Dulu nak bertanding senang, letak saja nama, sekarang jika nak bertanding jika tak beriya-iya nak kempen... orang tak pandang, dah tu kita nak bertanding pula dengan lelaki yang boleh ke sana ke mari, boleh ke kedai kopi, semuanya boleh.
Wanita susah sikit, nak bebas sampai ke malam, jam dua tiga pagi duduk di Coffee House, tak boleh. Berkhidmat pada peringkat akar umbi sebenarnya lebih berharga daripada memegang jawatan sebab dia yang turun padang mencari pengundi, buat ucapan dan terangkan pelbagai isu.
Ada cadangan untuk melantik secara automatik wakil semua sayap parti sebagai perwakilan ke perhimpunan agung, bagaimana perkembangannya.
Ini memang desakan daripada akar umbi, kita cuba bawa juga pada perhimpunan kali ini dan jika desakan kuat pada ketiga-tiga mesyuarat agung kali ini, mungkin perkara itu akan berlaku.
Apakah sudah tiba masa Wanita Umno ubah persepsi untuk tampil dan bertanding.
Tidak semudah itu dan ini bukan soal persepsi, kena tepuk dada tanya selera, terpulang pada mereka. Bagi saya keberkesanan tidak bergantung pada jawatan, mungkin dia bagus dia pandai, tetapi dia ada anak kecil saya tak nak dia abaikan anak, suami, rumah ditinggalkan hanya kerana mengejarkan jawatan ketua bahagian. Jadi ketua bahagian, banyak kerja akar umbi, malam siang orang panggil dia, sentiasa jadi rujukan dan mungkin wanita yang masih muda ada keluarga dia tak boleh sebab masa. Kena jaga anak bukannya perkara kecil, orang lelaki dia boleh tinggal anak untuk isteri jaga, itu bezanya.
Apa pula nasihat Datuk Seri kepada Wanita Umno yang aktif dan berhasrat untuk bertanding.
Boleh teruskan, dengan syarat kita diterima pengundi. Di cawangan Umno, memang ramai wanita jadi ketua, tetapi di bahagian antara wanita dan lelaki sama saja dan di situlah susah sikit. Tetapi bila sudah ada jumlah sama untuk wakil wanita dan lelaki nanti, akan lebih mudah. Tetapi, kadang-kadang wanita pun tak sokong sesama wanita kerana dia berasa dia pun wanita payah (untuk pikul tanggungjawab) jadi dia berasa wanita yang bertanding pun tidak dapat laksanakan tugas itu. Jika ada kita sokong, tetapi tak boleh desak sebab kita tidak mahu Wanita Umno sebagai ketua di bahagian hanya sepenggal, lepas itu gugur, ada yang merajuk lepas itu, orang tak ambil jadi jawatankuasa bahagian.. habis langsung. Kita nak Wanita Umno berfungsi sebaik mungkin walaupun tanpa jawatan.
Berbalik kepada perhimpunan kali ini, apa arahan atau peringatan Datuk Seri kepada pembahas.
Memang selama-lamanya arahan saya ialah jangan ucap hanya untuk tarik perhatian media dan perwakilan dengan lawak jenaka, lucah atau buat kerja yang naikkan semangat dengan sentimen. Memang akan kata (yang buat sedemikian), tetapi itu bukan tempatnya atau nak tonjolkan diri kita pandai, itu pun bukan tempatnya. Sepatutnya kita bangkitkan mengenai isu yang boleh disusuli, kita bangkitkan masalah yang boleh ditangani, jangan nak buat rambang saja, tuduhan rambang saja tanpa fakta. Saya tak nak macam itu, kita kena bertanggungjawab bila buka mulut. Jika jabatan atau kementerian tidak betul, kita kena ada fakta, kita tak nak dituduh kerana media akan tulis. Jadi kena bertanggungjawab, jangan cari sensasi. Sebenarnya nak buat sensasi senang saja.. carut sikit, buat kelakar, pantun meleret-leret. Perlu ingat, mesyuarat agung bukan untuk menghiburkan ahli.
Yang meleret-leret tu.. dah kata dah, sudah pesan tetapi dalam pada itu ada juga yang tercicir.
Dari segi pengiktirafan kepada Wanita dalam Umno, apakah yang boleh dikatakan mengenainya.
Perlu ingat dalam pergerakan Wanita Umno, ketua dan naib ketuanya adalah menteri penuh, Pemuda tak pernah, ada kalanya ketuanya pun bukan menteri. Sepanjang sejarah kita, ketua wanita kita menteri dan sudah beberapa kali ketua dan naib ketua juga dilantik menteri dan ketika saya tak jadi ketua sekejap, dapat jadi menteri juga. Menteri dalam Kabinet berapa kerat saja dan daripada semua menteri itu dua daripadanya adalah ketua dan Naib Ketua Wanita. Dua Wanita Umno ini pun sudah cukup, dah boleh cakap bagi pihak semua wanita.
Bagaimana dengan suara di Parlimen yang dirasakan masih kurang.
Keadaan itu kerana mereka semuanya ada jawatan, timbalan menteri tidak boleh bersuara, tetapi Wanita Umno semua di Parlimen ada jawatan, kecuali beberapa orang saja. Ketua dan naib ketua dalam Kabinet dan hampir semua Ahli Parlimen pegang jawatan.. apa yang tak iktiraf lagi. Dari segi jumlah tak boleh nak banyak sangat kerana kita amalkan perkongsian kuasa.. untuk orang lain pun kena bagi juga.
Berkaitan ekonomi pula, apakah dengan pelbagai projek mega yang dilaksanakan kerajaan, Wanita Umno akan diberi keistimewaan tertentu.
Peluang terbuka kepada semua, untuk bantuan pertolongan ada bantuan khas, tetapi kita tidak mahu sediakan khas untuk wanita, selagi nak khaskan untuk wanita, maknanya bukan peniaga betul namanya. Sekarang bukan lagi masa untuk buat begitu, jika nak keistimewaan kita boleh beri tabung khas, tetapi yang penting Wanita perlu cuba melangkah ke mana saja yang mampu dan boleh peluang dibuka untuk semua.
|